1. Ketika pengharaman arak berlaku, Rasulullah tidak berkata pada para sahabat: Sekiranya kamu minum di sebalik pintu (di ruang peribadi kamu), maka kami tidak akan ganggu. Ini adalah kerana, dosa adalah sesuatu yang memudaratkan buat seorang Muslim. Sekalipun ia dilakukan secara sembunyi, Rasulullah mendidik Muslim supaya bersikap tegas dengan dosa, tidak kira tersembunyi mahupun terbuka.
2. Atas sebab itu Rasulullah mengingatkan manusia supaya menjauhi dosa dan maksiat yang dilakukan secara tersembunyi. Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Thauban, Rasulullah menjelaskan bahawa dosa atau maksiat tersembunyi akan menghapuskan amalan kita sekalipun amalan tersebut sebesar gunung tihamah. Amaran ini menunjukkan sikap tegas Rasulullah untuk tidak memberi ruang pada dosa yang dilakukan di ruang peribadi.
3. Selain arak, khalwat juga adalah dosa tersembunyi yang menerima ancaman daripada Rasulullah. Seseorang tidak dinamakan berkhalwat sekiranya mereka berdua-duaan di tengah pasar raya. Khalwat adalah perlakuan dosa yang dilakukan di sebalik pintu (individual sphere). Namun, Rasulullah tidak berkata: “Kalau kamu berduaan di balik pintu, maka kami tidak akan ganggu.” Bahkan, Rasulullah berpesan supaya jauhilah perbuatan khalwat, sabda Rasulullah:
لا يخلون رجل بامرأة فإن الشيطان ثالثهما
“Janganlah seorang lelaki bersendirian dengan seorang wanita. Sesungguhnya syaitan yang akan menjadi orang ketiga (di antara mereka berdua).”
4. Konsep dosa peribadi ini sudah mirip dengan pegangan liberal yang menuntut kebebasan mutlak individu. Prinsip ini seakan sama dengan gesaan LGBT yang menuntut kebebasan mereka untuk melakukan apa sahaja di sebalik pintu. Apakah kita ingin membiarkan masyarakat rosak dengan kehendak peribadi mereka untuk menonton porno, berkhalwat, mendekati zina dan sebagainya?
5. Atas sebab itu sebahagian sarjana Muslim mengharuskan operasi siasatan bagi mencegah dosa yang merosakkan individu Muslim di ruang peribadi. Al-Imam Ibn Hajar menegaskan bahawa: benar, seseorang tidak boleh melakukan tajassus (intipan) terhadap Muslim yang lain. Namun sekiranya sesuatu aduan telah dibuat dari orang yang dipercayai (thiqah), maka ia adalah sesuatu yang diharuskan bagi mencegah kemungkaran. (Fath al-Bari, 10/482)
6. Pandangan yang hampir sama dinukilkan oleh al-Imam Nawawi yang menyatakan pandangan al-Imam al-Haramain dan al-Mawardi berhubung keharusan melakukan operasi siasatan (tajassus) bagi mencegah perlakuan jenayah zina (Syarh al-Nawawi, 2/26). Ini bererti “moral policing” adalah sesuatu yang wujud di dalam Islam. Tidak seperti liberal yang menuntut kebebasan mutlak individu dan menolak pengawasan akhlak dan dosa.
Sungguh benar ayat Allah yang menyebutkan bahawa umat ini akan menjadi “sebaik-baik ummat” (kuntum khayra ummatin) sekiranya mereka mengamalkan konsep amar makruf dan nahi mungkar.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
Appear first on Sudut Malaysia