Hasrat tiga beranak untuk merasai kemeriahan menyambut Syawal di kampung, akhirnya tertunai apabila ada pihak yang sudi membantu menumpangkan mereka.
Menariknya, bantuan itu ditawarkan oleh seorang rakan lama yang terputus hubungan selama beberapa tahun selepas membaca kisah Mohd Azhar Abdullah, 32, dan isteri Hajar Azmi, 29, bersama anak perempuan mereka, Nur Hana Humaira, sembilan bulan, yang disiarkan mStar Online pada petang Ahad.
Hajar berkata, sejak berita mengenai mereka disiarkan, mereka dihubungi ramai pihak selain dihujani pelbagai mesej yang menawarkan bantuan.
“Seorang bekas rakan sekolah menengah menghubungi saya di Facebook menawarkan bantuan untuk menumpangkan kami sekeluarga balik ke Pasir Puteh.
“Secara kebetulan rakan saya yang kini menetap di Kuantan bersama suami dan anak-anaknya juga mahu pulang ke kampung di Pasir Puteh untuk menyambut hari raya. Alhamdulillah, rezeki kami sekeluarga,” katanya ketika dihubungi mStar Online.
Pada Ahad, mStar Online melaporkan sebuah keluarga terpaksa meminta bantuan kepada orang ramai kerana kekangan kewangan, selain keadaan isteri seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) dan anak masih kecil.
Ia susulan ‘posting’ mereka di Facebook ‘Hana Humaira’ pada Jumaat lalu yang menyebut: “Mohon jasa baik warga Kuantan, kami hendak tumpang ke Kelantan, nak balik raya. Kami tiga beranak. Kami bayar. Demi ayah dan bonda di kampung. Tiket sudah habis. Mohon jasa baik.”
Hajar berkata, berita gembira itu bukan sahaja membolehkan mereka sekeluarga menyambut hari raya kali ini di kampung, malah dapat bertemu kembali rakan lama yang dikenali kira-kira 15 tahun lalu.
Sehubungan itu, dia mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang prihatin dan sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka.
“Alhamdulillah, masalah kami dapat diselesaikan. Terima kasih kepada semua yang prihatin. Hanya Tuhan yang dapat membalas budi anda semua.
“InsyaAllah, kami akan pulang ke kampung di Kg Kubang Bulat di Pasir Puteh pada Jumaat ini. Doakan keselamatan kami dan segala urusan dipermudahkan,” katanya dengan nada ceria.
Terdahulu, Mohd Azhar yang bekerja memotong rumput dan membantu katering dengan upah antara RM500 sehingga RM700 sebulan berkata, mereka bukanlah meraih simpati orang ramai untuk mendapatkan bantuan kewangan.
“Saya tidak mahu orang ramai salah faham. Saya bukan nak duit tetapi hanya tumpangkan kami. Apa cara bantuan pun, biarlah kos tersebut ditanggung sendiri oleh penyumbang dan bukannya wang disalurkan kepada kami.
“Kalau kami terpaksa tumpang tiga beranak duduk di belakang lori pun kami sanggup asalkan dapat pulang berhari raya sebab dah janji dengan keluarga,” kata Mohd Azhar.
Kredit :
– www.mstar.com.my
✍ Sumber Pautan : ☕ MyNewsViral
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2rGJawT
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Appear first on Sudut Malaysia