Pada 21 Mei lalu apabila kumpulan UNIC diumumkan juara Gema Gegar Vaganza (GGV), seorang anggotanya, Bazli melaungkan kata-kata; “Ayah menang Syahid.”
Bagi yang tidak tahu, mungkin pelik dengan aksi Bazli atau Bazli Hazwan Che Osman, 32, tetapi bagi yang tahu, Syahid ialah anaknya yang sedang bertarung kerana kanser limfoma dan menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Jika bapanya gigih berjuang di pentas GGV, kisah anaknya, Muhammad Syahid, 4, turut menjadi perhatian. Penyakitnya mula dikesan Januari lalu apabila mengalami bengkak kecil di bahagian leher pada Disember tahun lalu.
Apabila dibawa menjalani pemeriksaan doktor hingga lima klinik, semua mengesahkan ia adalah beguk dan mereka memberikan ubat.
Bengkak itu berlarutan, lantas Bazli membawa anaknya pulang ke kampungnya di Alor Setar, Kedah dan menjalani rawatan di pusat perubatan di sana dan doktor mengesahkan ada jangkitan kuman di bahagian yang bengkak itu.
Dia kemudian membawa Syahid kembali ke Kuala Lumpur dan menjalani rawatan di pusat perubatan di Damansara dan Hospital Sungai Buloh.
Ketika di Hospital Sungai Buloh, muncul satu lagi bengkak di bawah ketiak, kemudian dihantar ke HKL kerana di sana ada pakar kanser untuk kanak-kanak. Di HKL, doktor mengesahkan anaknya menghidap kanser kelenjar tahap tiga.
Bagi memastikan sel-sel kanser itu dimatikan sepenuhnya, Syahid perlu menjalani lima kali rawatan kemoterapi selama setahun.
Kesan daripada kemoterapi, Syahid mengalami ulser pada bahagian mulut, rambut gugur, selain badan menjadi panas dan kulitnya bertukar kusam.
Siapa sangka di sebalik wajah ceria dan semangat ditunjukkan Bazli ketika berjuang di pentas GGV, dia sebenarnya menahan perasaan kerana sentiasa terkenangkan keadaan anak kesayangannya.
Dia sedar harus kuat demi Syahid dan mengalah dengan nasib menimpa anaknya bukan satu pilihan, sebaliknya dia harus bangkit dalam memastikan kanak-kanak itu akan pulih seperti sedia kala.
Bazli mengakui menjadikan anaknya sebagai inspirasi untuk terus berjuang dalam GGV sehingga ke peringkat akhir dan akhirnya apabila diumumkan juara, dia dedikasikan kemenangan itu buat anaknya.
Pada 7 Jun lalu atau 12 Ramadan, Syahid menghembuskan nafas terakhir di HKL jam 7.23 pagi. Ia dikongsi Bazli menerusi laman sosial Instagramnya.
Wajah tenang dan reda Bazli serta isteri, Asiah Abu Bakar, 27, ketika anak dikebumi dan selepas selesai kebumi cukup membuatkan yang melihat mereka sebak serta terharu.
Bagi yang mengikuti laman sosial Bazli tentu dapat melihat bagaimana bapa dan anak ini mengisi masa mereka dengan bacaan ayat suci al-Quran ketika dalam kereta ketika Syahid sihat serta ketika Syahid terlantar di katil hospital.
Anak sekecil Syahid begitu pintar menyambut ayat-ayat yang dibacakan bapanya. Sungguh hebat cara didikan Bazli pada anaknya yang sentiasa disulami ayat-ayat suci.
Sehari selepas itu, Bazli berkongsi kisah menerusi laman sosial Facebooknya. Bukan ratapan atau rintihan atas kehilangan Syahid yang digelarnya Bintang Syurga tetapi luahan rasa rindu waktu mereka bersama.
Katanya, waktu ini biasanya dia salinkan napkin pakai buang Syahid, lap badannya dengan lembut, betulkan posisi bantal, selimutkan dan peluk anaknya itu sampai dia tenang sambil membaca ayat-ayat al-Quran disukainya.
Sejak menjalani rawatan di HKL, Syahid membaca al-Quran bersama bapanya hingga hafal keseluruhan surah Al-Mulk. Walaupun sakit, Syahid tetap cuba untuk membaca Quran.
Bazli dan isteri diuji pada Ramadan bulan mulia ini dan tidak lama lagi, kita akan menyambut Syawal. Semoga mereka tabah dengan ujian ini dan semoga apa yang dikongsi Bazli mengenai caranya mendidik anak serta berhadapan dengan dugaan dan ujian daripada Alalh, menjadi panduan kepada keluarga lain. Mereka juga mempunyai seorang lagi anak, Muhammad Ayyan, 11 bulan.
Ramai lagi ibu bapa yang berhadapan dugaan dan ujian, semoga mereka terus tabah dan sabar. Betapa sabarnya mereka menjaga anak yang sakit.
Hati ibu bapa mana yang tidak sayu melihat keadaan anak disayangi. Kesan kemoterapi dijalani, kulit Syahid mengelupas, setiap kali buang air kecil dan besar, Syahid merintih sakit. Waktu basuh menjerit pedih. Makan melalui tiub di hidung.
Bazli akui Syahid banyak mengajarnya erti sabar dalam membesar dan menguruskan anak. Syahid inspirasinya dalam menjadi bapa yang kental berjiwa pahlawan.
Dilahirkan di Perlis dan dibesarkan di Kota Tinggi, Johor, Bazli merupakan siswazah Diploma Al-Quran & Sunnah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor atau lebih dikenali sebagai KUIS. Bazli juga pernah melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang Usuluddin.
The post Ujian besar Ramadan appeared first on Berita Viral.
✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2slwsU7
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Appear first on Sudut Malaysia