Kamis, 23 November 2017

Beberapa laluan komuter, ETS terjejas selama 3 hari

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Beberapa laluan bagi perkhidmatan KTM Komuter dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) di sekitar Lembah Klang mengalami gangguan susulan insiden tren kargo tergelincir tidak jauh dari Stesen Bank Negara awal hari ini.
 
Dua belas gerabak tren kargo yang membuat perjalanan menuju ke arah Selatan tergelincir di antara Stesen Bank Negara dan Stesen Kuala Lumpur di KM 386 pada 2.58 pagi.
 
Akibat dari kejadia itu tren tidak dapat menggunakan laluan di antara Stesen Segambut, Stesen Putra, Stesen Bank Negara dan Stesen Kuala Lumpur.
 
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan media memaklumkan kerja baik pulih sedang giat dijalankan dan dijangka pulih dalam tempoh 3 hari.
 
Insiden itu menyebabkan perkhidmatan komuter bagi laluan Tanjung Malim-Pelabuhan Klang hanya beroperasi di antara Stesen Tanjung Malim hingga Stesen Kepong dan Stesen KL Sentral hingga Stesen Pelabuhan Klang.
 
“Tiada perkhidmatan tren komuter di antara laluan Stesen Kepong ke Stesen KL Sentral. Perkhidmatan bas disediakan di antara laluan Stesen Segambut hingga Stesen KL Sentral,” tambah kenyataan itu.
 
Sementara itu, perkhidmatan tren komuter dari Stesen Batu Caves pula hanya beroperasi hingga Stesen Sentul, dan perkhidmatan bas disediakan di stesen itu hingga Stesen KL Sentral sebelum penumpang boleh menaiki komuter semula untuk ke Stesen Seremban dan Stesen Tampin/Pulau Sebang.
 
Menurut kenyataan itu, kekerapan perkhidmatan tren untuk semua laluan KTM Komuter adalah di antara 30 hingga 45 minit.
 
Penumpang bagi laluan Stesen Tanjung Malim-Stesen KL Sentral atau stesen sektor Selatan dan sebaliknya, digalak menggunakan perkhidmatan awam alternatif lain seperti tren MRT dari Stesen Sungai Buloh.
 
 
 
Bagi perkhidmatan ETS pula, laluan dari Sektor Utara akan beroperasi hingga Stesen Sungai Buloh, yang mana penumpang akan dibawa menaiki tren MRT hingga ke Stesen KL Sentral sebelum kembali menggunakan ETS untuk ke Stesen Gemas.
 
Bagi laluan dari Sektor Selatan pula, tren ETS beroperasi hingga Stesen KL Sentral, penumpang akan dibawa menaiki MRT dari situ ke Stesen Sungai Buloh sebelum meneruskan perjalanan menggunakan ETS ke sektor Utara.
 
Syarikat itu menjangkakan kelewatan bagi semua perkhidmatan tren ETS adalah antara 30 minit hingga 1 jam.
 
“Penumpang ETS boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh sekiranya mahu membatalkan perjalanan selain boleh membuat pertukaran tarikh perjalanan, bergantung kepada kekosongan tiket,” menurut kenyataan itu.
 
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari laman Twitter rasmi KTMB, @ktm_berhad atau menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-22671200.


Appear first on Sudut Malaysia

Artikel Terkait