Sabtu, 25 November 2017

BN berisiko kalah di T'ganu, kata penganalisis

MALAYSIAKINI



Sejarah dua kali kekalahan BN di Terengganu berisiko berulang pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, kata penganalisis politik.

Pensyarah Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, ia boleh terjadi jika terdapat perbalahan antara pemimpin BN, apatah lagi jika ia diketahui umum.

"Dengan perbalahan seperti itulah, pengundi di negeri itu menjadi tidak yakin untuk meneruskan kelangsungan pentadbiran sedia ada," katanya seperti dipetik Sinar Online.

"Faktor yang sering menghantui BN adalah apabila ada pemimpin yang tidak boleh menerima jika tidak dipilih sebagai calon. Wujudlah sabotaj dalaman. Peluang ini yang akan digunakan pembangkang," katanya lagi.

Perbalahan antara pemimpin Umno negeri itu memang pernah berlaku sebelum ini.

Pada tahun lalu, bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said pernah mengusulkan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman tetapi ditolak speaker.


Dua tahun sebelumnya, iaitu pada 13 Mei 2014, Ahmad Said dan dua lagi anggota dewan undangan negeri (ADUN) Ghazali Taib (Ajil) dan Roslee Daud (Bukit Besi) mengisytiharkan keluar Umno beberapa jam selepas Ahmad meletakkan jawatan sebagai menteri besar.

Namun, ketiga-tiga mereka menarik balik keputusan itu sehari kemudian.

Sebelum itu pula, pelantikan Ahmad Said sebagai menteri besar pada 2008 juga dibantah 23 ADUN BN yang menyokong Datuk Seri Idris Jusoh, menteri besar sebelumnya.

Mohd Azizuddin berkata lagi, jika berlakunya kejatuhan negeri-negeri yang ditadbir BN pada PRU akan datang, ia berpunca daripada kesilapan mereka sendiri.

Tambahan pula, katanya lagi, pembangkang terutama Pakatan Harapan (HARAPAN) pula pada masa ini tidak mempunyai kekuatan yang cukup kerana pelbagai masalah, antaranya isu pendaftaran dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan masalah dalaman mereka sendiri.

"Umum mengetahui, BN sememangnya mempunyai kekuatan pada negeri-negeri yang dipegang, tetapi mereka jugalah yang menjadi penyebab kegagalan untuk bertahan," katanya lagi seperti dipetik.



Appear first on Sudut Malaysia

Artikel Terkait