ANTARAPOS
KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes 19 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet, Zulfarhan Osman Zulkarnain ditetapkan selama 14 hari bermula Januari depan.
Tarikh itu diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah pada prosiding pengurusan kes di sini hari ini dengan dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Othman Abdullah dan Nur Akmal Farhan Aziz.
Mahkamah menetapkan perbicaraan bermula pada 29 Januari, 28 Februari, 28 Mac, 26 hingga 27 April, 14 hingga 16 Mei, 4 hingga 5 Jun, dan 26 hingga 29 Jun 2018.
Sebanyak 19 penuntut institusi pengajian tinggi itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.
Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Azamuddin Md Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.Mereka yang lain ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Akmal Akif Alias, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat, universiti tersebut, Kem Perdana, Sungai Besi antara jam 2.30 pagi dan jam 5.30 pagi, 21 Mei lalu dan di bilik 04-10, antara jam 1.30 pagi dan 4.30 pagi, 22 Mei lalu.
Pertuduhan terhadap kesemua penuntut itu yang kesemuanya berusia 21 tahun dikemukakan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Sementara itu, Muhammad Akmal Zuhairi, Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin, Mohamad Shobirin dan Abdoul Hakeem turut menghadapi tuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM, antara jam 4.45 pagi dan jam 5.45 pagi, 22 Mei lalu.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Semua tertuduh masing-masing diwakili peguam Mohd. Fadhly Hashim, Datuk Ranjit Singh Dhillon, Zamri Idrus, A G Kalidas, Datuk Hazizah Kassim, Joshua Tay, Ariff Amirul Abdul Jani, Datuk Seri M Ramachelvam, Amer Hamzah Arshad.
Zulfarhan Osman, 21, Pegawai Kadet Laut UPNM meninggal dunia di Hospital Serdang pada jam 10 malam, 1 Jun lalu dengan kesan lebam dan melecur pada badan dipercayai didera dengan seterika wap selepas dituduh mencuri komputer riba.
Appear first on Sudut Malaysia