Jumat, 12 Januari 2018

AS yakin persempadanan semula untuk menangkan BN akan makan diri

 | January 12, 2018
Pengerusi PAS Kuala Langat dan wakil rakyat Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata pengundi sudah pun menyokong parti pembangkang sejak PRU tahun 2013.
Ahmad-Yunus-Hairi_spr_600


PETALING JAYA: Seorang pemimpin PAS berkata cadangan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dikatakan akan membantu Barisan Nasional (BN) meraih undian Melayu, mungkin berkesudahan sebaliknya.

Pengerusi PAS Kuala Langat dan Adun Sijangkang Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, sokongan penduduk tempatan terhadap mereka masih kuat di kawasan majoriti Melayu.

“Dengan persempadanan semula, SPR merancang untuk memindahkan lebih ramai pengundi Melayu dari Teluk Datuk ke kerusi DUN Sijangkang.

“Mereka fikir ini akan membolehkan BN memenangi semula Sijangkang selepas 10 tahun,” katanya kepada FMT, sambil menambah, pengundi sudah pun beralih kepada pihak pembangkang sejak Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2013.

Menurut Dr Yunus, orang awam boleh menilai tindakan SPR yang tergesa-gesa mengadakan inkuiri tempatan sejurus selepas kes mahkamah kerajaan Selangor digugurkan.

Bawah cadangan persempadanan semula itu, katanya, kawasan majoriti Melayu seperti Kampung Jenjarum dan Seri Cheeding akan dipindah ke Sijangkang.

Kumpulan masyarakat awam telah mengkritik SPR atas cadangan persempadanan semula yang dilakukan pada 2016, dan berkata pihak itu tidak mematuhi garis panduan bawah Perlembagaan Persekutuan dan ia hanya sekadar perbuatan salah pembahagian dan muslihat pilihan raya (gerimander).

Dr Yunus yang juga exco Selangor bagi hal ehwal agama, adat dan warisan Melayu, dan pembangunan desa dan kampung tradisi, memenangi kerusi Sijangkang yang bermajoriti Melayu bawah tiket PAS sejak 2008.

Pada PRU tahun 2013, beliau mengekalkan kerusinya di Sijangkang dengan undian majoriti sebanyak 2,942 menentang wakil Umno, Zurihan Yusop. Beliau memperoleh 14,838 undian manakala Zurihan memperoleh 11,896 undian.

Ahli Parlimen Kuala Langat sekarang adalah Abdullah Sani Abdul Hamid dari PKR. Selain Sijangkang, 2 lagi kerusi DUN bawah Kuala Langat adalah Teluk Datuk (dinamakan semula sebagai Banting bawah cadangan persempadanan semula) dan juga Morib.

Teluk Datuk dipegang oleh bekas wakil DAP yang kemudiannya menjadi Adun bebas, Loh Chee Heng dan Morib pula dipegang bekas wakil PAS yang kemudiannya menyertai Amanah, Hasnul Baharuddin.

Apabila disoal jika PAS bimbang akan perlawanan 3 penjuru dengan BN dan Pakatan Harapan, Dr Yunus menjawab beliau percaya sokongan penduduk tempatan masih berpihak kepada mereka.

“PAS Selangor telah melakukan penyelidikan dan mendapati sokongan Melayu kepada Amanah sangat sedikit di negeri ini atau lebih kurang pada 2.7%,” katanya.

Beliau menepis dakwaan mengatakan sesetengah cawangan PAS dan ahlinya di Morib menjadi “tidak aktif” selepas wakil rakyat Morib, Hasnul Baharuddin menyertai Amanah pada 2015, sambil mengatakan sebenarnya mereka tidak aktif disebabkan masalah teknikal.

“Saya mungkin berat sebelah tetapi semasa Hasnul menjadi setiausaha kami, beliau tidak menghantar laporan cawangan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dan ini menyebabkan kebanyakan cawangan terbatal pendaftarannya.

“Ia tiada kaitan dengan ahli PAS meninggalkan parti dan menyebabkan cawangan tidak aktif,” katanya sambil menambah, mereka berjaya mendaftar semula 41 cawangan.

Sebelum ini, Hasnul memberitahu FMT, cawangan PAS dan ahlinya di Morib menjadi “tidak aktif” sejak beliau meninggalkan parti dan kebanyakan mereka kini menyokong PH.

Katanya, sesetengah penyokong PAS fikir, keputusan presiden mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk melemahkan hubungan dengan parti komponen Pakatan Rakyat, iaitu pelopor gabungan pembangkang yang kini sudah tidak wujud adalah langkah yang salah.

Dr Yunus berkata walaupun sesetengah ahli keluar parti untuk sertai Amanah dengan Hasnul, dan juga Pakatan Rakyat yang dipecahkan, PAS masih mampu menarik penyokong baharu.

“Kami baru sahaja mendaftarkan 500 orang sebagai ahli di Kuala Langat dan jumlah ahli sekarang melebihi 2,000 orang,” katanya.



Appear first on Sudut Malaysia

Artikel Terkait