Selasa, 09 Januari 2018

Dr.Maza Jawab: Bolehkah Perjuangan Islam dengan MAKI HAMUN

BOLEHKAH PERJUANGAN AGAMA DENGAN MAKI HAMUN

Soalan: Dr MAZA, maaf ganggu. Terima kasih baca email saya. Nak tanya. Saya dapati terdapat pihak yang kononnya berjuang Islam tapi selalu maki-hamun orang lain. Pengikut mereka juga mempunyai akhlak yang sama.

Ulasan dan komen mereka suka nak maki orang yang tak satu pendapat ataupun jamaah dengan mereka. Kadang sampai panggil siapa tak sokong perjuangan mereka ‘musuh Allah’, padahal kami hanya tak setuju dengan cara mereka bukan tak setuju Islam.

Ada yang kata nak tegakkan Islam kena tegas sebab itu mereka selalu cakap kasar, jerit dan maki orang lain. Ada kata tegas macam Saidina Umar. Betul ka macam tu? Kadang-kadang saya tengok sampai mencarut dan terjerit-jerit memaki orang lain. Kenapa perkara macam tu boleh jadi bila orang berjuang Islam, undang-undang Islam, syariat Islam? Macam itukah perjuangan Islam?
Ezlan, Shah Alam.

Jawapan Dr MAZA;
Hasrat ingin menegakkan agama, jika benar-benar wujud merupakan sesuatu yang terpuji. Bahkan kita dituntut untuk menegakkan agama ini. Namun kita mesti faham apakah yang dikatakan Islam yang hendak ditegakkan itu. Seterusnya, hendaklah kita faham semua perkara ada disiplinnya. Di medan peperangan yang begitu getir dan sukar dikawal pun, Islam menetapkan disiplin-disiplin tertentu yang wajib dipatuhi. Kesemua disiplin tersebut bagi menunjukkan bahawa kita berjuang kerana Allah, maka kita mengikut kehendak dan peraturan Allah. Di samping itu, ia menunjukkan bahawa Islam merupakan agama yang bertamadun dalam pengajarannya.
Untuk menjawab persoalan ini, saya ingin menyebut beberapa perkara penting di sini;

1. Jika benar-benar sesuatu perjuangan dilakukan kerana Allah, pasti mereka yang mendakwa itu akan mengikut Allah. Ini kerana perjuangan Islam bertujuan mencari keredhaan Allah. Seperti apabila kita bersolat kita ingin mendapat keredhaan dan pahala dari Allah, maka kita ikuti rukun dan segala peraturan solat. Kita elakkan perbuatan yang boleh membatalkan solat. Demikianlah sepatutnya jika sesuatu perjuangan itu bertujuan mencari keredhaan Allah. Firman Allah:
وَقُلْ لِعِبَادِي يَقُولُوا الَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْزَغُ بَيْنَهُمْ إِنَّ الشَّيْطَانَ كَانَ لِلْإِنْسَانِ عَدُوًّا مُبِينًا
(maksudnya) “dan katakanlah (Wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKU (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia”. (al-Isra: 53).

Kata Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini: “Allah memerintah Rasulullah s.a.w memberitahu kepada hamba-hamba Allah agar berkata dalam ucapan dan perbincangan mereka ungkapan yang terbaik dan kalimat yang baik. Jika itu tidak dilakukan, syaitan akan menghasut mereka. Maka ucapan itu akan membawa tindak balas, berlaku keburukan, permusuhan dan peperangan”. (Ibn Kathir, 5/87. Mekah: Dar al-Taybah).

2. Seseorang boleh, bahkan disuruh membantah ataupun mengkritik sesuatu perkara yang salah. Namun, agama mengajar agar kita berdisiplin dalam ucapan dan ungkapan kita. Sekumpulan Yahudi datang bertemu Nabi s.a.w dan memberi salam dengan mengucapkan as-sam alaikum yang bermaksud ‘maut ke atas kamu’. Nabi s.a.w menjawab ‘wa alaikum’ sahaja. Isteri Nabi, Aishah r.aha yang perasan dengan mainan ucapan salam mereka itu menjawab “as-sam ‘alaikum wal la’nah” maksudnya maut dan laknat ke atas kamu. Nabi s.a.w bersabda:
مَهْلاً يَا عَائِشَةُ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الرِّفْقَ فِى الأَمْرِ كُلِّهِ » . فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلَمْ تَسْمَعْ مَا قَالُوا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - « قَدْ قُلْتُ وَعَلَيْكُمْ
“Nanti dahulu wahai Aishah! Sesungguhnya Allah suka sikap lunak dalam semua perkara”. Jawab Aishah: “Wahai Rasulullah! Engkau tidak dengarkah apa mereka kata?”. Sabda Nabi s.a.w: “Aku telah pun jawab ‘wa alaikum’ (ke atas kamu)’ (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

3. Orang yang suka memaki orang lain merupakan golongan yang fasik (golongan pendosa). Mereka bukanlah penegak agama sebaliknya untuk memenuhi kehendak nafsu sendiri. Ini kerana tindakan mereka itu menjadikan diri mereka itu fasik iaitu pendosa, padahal mereka itu kononnya membantah orang yang melakukan dosa. Dalam riwayat al-Tabarani dari al-Mu’jam al-Kabir:
انْتَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى مَجْلِسٍ مِنْ مَجَالِسِ الأَنْصَارِ وَرَجُلٌ فِيهِمْ قَدْ كَانَ يُعْرَفُ بِالْبَذَاءِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:سِبَابُ الْمُسْلِمِ فُسُوقٌ، وَقِتَالُهُ كُفْرٌ.
Nabi s.a.w pernah hadir dalam suatu majlis orang Ansar. Padanya ada seorang lelaki yang terkenal dengan suka memaki hamun. Nabi s.a.w pun bersabda: “Memaki orang muslim itu perbuatan fasik dan memeranginya perbuatan kufur”.

4. Tujuan dakwah, nasihat, kuliah agama untuk mencari pahala. Sedangkan, maki-hamun mendatangkan dosa dan mengikis pahala yang ada. Maka, sudah itu bukan perjuangan menegakkan Islam. Sabda Nabi s.a.w:
أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ؟» قَالُوا: الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لَا دِرْهَمَ لَهُ وَلَا مَتَاعَ، فَقَالَ: «إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلَاةٍ، وَصِيَامٍ، وَزَكَاةٍ، وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا، وَقَذَفَ هَذَا، وَأَكَلَ مَالَ هَذَا، وَسَفَكَ دَمَ هَذَا، وَضَرَبَ هَذَا، فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ، وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ، فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ، ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ

“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).

5. Apabila kita melihat seseorang melakukan dosa, maka kita menegah dan mengkritik perbuatannya. Namun begitu kita tidak boleh berlebihan mencercanya, kerana ada kemungkinan di sudut yang lain, dia lebih baik ataupun ada kebaikannya yang lain.
Dalam hadis al-Imam al-Bukhari, Rasulullah s.a.w mengajar kita hakikat ini:
أَنَّ رَجُلاً عَلَى عَهْدِ النَّبِىِّ - صلى الله عليه وسلم - كَانَ اسْمُهُ عَبْدَ اللَّهِ ، وَكَانَ يُلَقَّبُ حِمَارًا ، وَكَانَ يُضْحِكُ رَسُولَ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - ، وَكَانَ النَّبِىُّ - صلى الله عليه وسلم - قَدْ جَلَدَهُ فِى الشَّرَابِ ، فَأُتِىَ بِهِ يَوْمًا فَأَمَرَ بِهِ فَجُلِدَ ، فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الْقَوْمِ اللَّهُمَّ الْعَنْهُ مَا أَكْثَرَ مَا يُؤْتَى بِهِ . فَقَالَ النَّبِىُّ - صلى الله عليه وسلم - « لاَ تَلْعَنُوهُ ، فَوَاللَّهِ مَا عَلِمْتُ أَنَّهُ يُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ
“Seorang lelaki bernama ‘Abdullah, digelar ‘himar’ (kaldai). Dia pernah menyebabkan Rasulullah s.a.w ketawa. Juga pernah Nabi s.a.w. menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak. Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: “Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap”. Lantas Nabi s.a.w pun bersabda: “Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan RasulNya”. (Riwayat al-Bukhari).

6. Memanggil orang lain dengan panggilan musuh Allah, ataupun musuh Islam dan seumpamanya merupakan sesuatu yang besar. Jika kita tahu bahawa seseorang itu tidak kafir atau sesat atau fasik, tetapi kita sengaja menuduh imannya yang sah itu sebagai kafir atau sesat, atau menuduh dirinya yang tidak fasik itu sebagai fasik, maka tuduhan itu kembali kepada yang menuduh. Sabda Nabi s.a.w:
وَمَنْ دَعَا رَجُلًا بِالْكُفْرِ، أَوْ قَالَ: عَدُوُّ اللهِ وَلَيْسَ كَذَلِكَ إِلَّا حَارَ عَلَيْهِ
“Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

7. Hendaklah kita fahami bahawa bertegas, tinggi nada ucapan, keras amaran tidak sama dengan mengeluarkan perkataan yang buruk dan jelek kepada orang lain.  Kata Jabir r.a:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- إِذَا خَطَبَ احْمَرَّتْ عَيْنَاهُ وَعَلاَ صَوْتُهُ وَاشْتَدَّ غَضَبُهُ حَتَّى كَأَنَّهُ مُنْذِرُ جَيْشٍ
“Nabi ketika berkhutbah merah kedua matanya, tinggi suaranya, keras marahnya, seakan baginda sedang member amaran tentang bahaya kedatangan tentera musuh” (riwayat Muslim).
Hadis ini menunjukkan seni pidato Nabi s.a.w. Itu pun mengikut isu yang Nabi s.a.w perkatakan. Adakalanya pidato Nabi s.a.w bernada sayu sehingga para sahabah menangis mendengarnya. Ada pelbagai riwayat tentang khutbah baginda. Apa yang penting hadis ini langsung tidak menunjukkan Nabi s.a.w itu menggunakan bahasa yang buruk ataupun memaki-hamun orang lain. Bahkan dalil-dalil yang telah kita nyatakan dan selainnya menunjukkan baginda sering memerintahkan kita memilih perkataan yang baik.

8. Menyamakan pendekatan dakwah yang buruk, suka mencerca dan memaki hamun orang lain dengan Saidina Umar merupakan penghinaan kepada khalifah agung tersebut. Ini memberikan gambaran buruk kepada khalifah yang mulia itu. Memang banyak riwayat menunjukkan sikap tegas dan keras Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab, namun bukan bererti dia memaki hamun. Kemudian, di sudut pendekatan, ada beberapa perbezaan antara beliau dengan kita semua. Beliau khalifah yang ada kuasa untuk menghukum rakyat bawahan seperti memukul bagi yang melanggar kesalahan. Sedangkan kita tiada hak tersebut. Dimensi zaman juga tidak sama, ketika itu tindakan beliau dianggap serasi dengan cara kehidupan di zaman itu. Di zaman kita, tidak perlulah seorang perdana menteri atau presiden negara membawa tongkat memukul rakyat yang melanggar peraturan jalanraya atau seumpamanya. Undang-undang yang detil sudah wujud, mahkamah dan pihak berkuasa berperanan sepenuhnya. Itu lebih serasi dan dihormati di zaman ini.

9. Kita akui kemungkinan ataupun kadang-kala seseorang terlepas cakap, terkasar ataupun ‘termaki’ orang lain. Ini selagi bukan tabiat kebiasaan, maka itu boleh dianggap sebagai kesilapan setiap insan yang mungkin berlaku. Rasulullah s.a.w sendiri pun pernah bersabda:
إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ أَرْضَى كَمَا يَرْضَى الْبَشَرُ وَأَغْضَبُ كَمَا يَغْضَبُ الْبَشَرُ فَأَيُّمَا أَحَدٍ دَعَوْتُ عَلَيْهِ مِنْ أُمَّتِى بِدَعْوَةٍ لَيْسَ لَهَا بِأَهْلٍ أَنْ تَجْعَلَهَا لَهُ طَهُورًا وَزَكَاةً وَقُرْبَةً يُقَرِّبُهُ بِهَا مِنْهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Sesungguhnya aku manusia; aku redha seperti mana manusia redha, aku marah seperti mana manusia marah. Justeru, sesiapa sahaja di kalangan umatku yang aku doakan keburukan ke atasnya dengan sesuatu doa, sedangkan dia tidak layak maka Allah akan jadikan untuknya kesembuhan, penyucian dan perkara yang mendekatkannya dengan Allah pada Hari Kiamat nanti” (riwayat Muslim).

10. Namun, jika maki hamun, cercaan, dan perkataan yang buruk itu merupakan kelaziman individu, ataupun jamaah, ataupun kumpulan ataupun parti politik sekalipun menggunakan nama Islam, maka itu merupakan tanda perjuangan mereka tidak bertujuan mengangkat ataupun memuliakan agama. Ia perjuangan yang dipenuhi dengan emosi dan dikuasai oleh kepentingan diri dan kumpulan.  Nabi Muhammad s.a.w telah menghadapi ujian dan cabaran yang lebih berat. Pun begitu, Anas bin Malik meriwayatkan:
لَمْ يَكُنِ النَّبِىُّ- صلى الله عليه وسلم -سَبَّابًا وَلاَ فَحَّاشًا وَلاَ لَعَّانًا
"Bukanlah Nabi s.a.w itu seorang pemaki orang, tidak juga seorang pengucap kekejian dan bukan seorang pelaknat orang lain". (Riwayat al-Bukhari).

11. Hendaklah kita jauh mana-mana perjuangan sekalipun atas nama agama, nama menegak negara Islam ataupun apa sahaja jika ia membentuk sikap yang buruk dan bercanggahan dengan syarak. Hendaklah kita elakkan diri berada dalam kumpulan ataupun keadaan yang merosakkan diri kita. Sabda Nabi s.a.w:

الْمَرْءُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِل
“Seseorang berada atas agama sahabat baiknya. Maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapakah dia jadikan teman rapatnya” (Riwayat Ahmad, dinilai hasan).

12. Kita wajib berhati-hati, kerana kumpulan, pertubuhan dan parti politik dan apa sahaja yang kita dampingi akan membentuk amalan agama kita. Jika teman rapat, kumpulan ataupun aliran yang kita ikuti itu suka memaki hamun orang lain, maka demikian terbentuk diri yang mendampingi itu. Nabi s.a.w menyebut dalam hadis:
مَثَلُ الجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالسَّوْءِ، كَحَامِلِ المِسْكِ وَنَافِخِ الكِيرِ، فَحَامِلُ المِسْكِ: إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً، وَنَافِخُ الكِيرِ: إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَةً
 “Bandingan teman duduk berbual yang baik dan yang buruk seperti pembawa kasturi dan tukang besi. Adapun pembawa kasturi, sama ada dia berikan engkau kasturi, atau engkau beli daripadanya, atau engkau dapati bau harumnya. Sementara tukang besi, sama ada ia membakar pakaian engkau, atau engkau akan dapati bau yang busuk” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis ini, Nabi s.a.w bukan bermaksud menghina tukang besi, tetapi sebagai contoh kesan keburukan yang mengenai seseorang yang berada di samping orang tertentu. Apatah lagi memang tidak sepatutnya ketika tukang besi sedang melakukan kerjanya seseorang pergi berada di sampingnya.


Appear first on Sudut Malaysia

Artikel Terkait