Selasa, 09 Januari 2018

Pindah pengundi tentera: SPR bantah satu lagi cubaan pengundi Segamat

 
Ini selepas 6 pengundi memohon untuk mengeluarkan 102 anggota tentera yang dimasukkan ke sebuah kem tentera yang belum siap dibina.


nsurendran

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengemukakan bantahan awal terhadap satu lagi kes difailkan 6 pengundi Segamat bagi mengeluarkan 102 pengundi tentera yang dimasukkan ke kawasan Parlimen itu.

Peguam, N Surendran yang mewakili 6 pengundi itu berkata, SPR membantah cubaan mereka untuk mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman dari Mahkamah Tinggi atas dasar pengundi Segamat sepatutnya merayu kepada pendaftar pemilih SPR.

“Bagaimanapun, kami kata cara lebih sesuai ialah semakan kehakiman untuk membatalkan kemasukan pengundi tentera itu,” katanya sambil menambah 6 pengundi itu tidak memfailkan rayuan kepada pendaftar pemilih SPR, sebaliknya mereka membawa kes itu ke mahkamah.

Surendran berkata, keputusan SPR memasukkan kumpulan aggota tentera itu sebagai pengundi Segamat melanggar undang-undang.

“Mereka tidak mematuhi Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk layak sebagai pengundi, dan mereka tidak tinggal di kawasan itu.”

Hakim Mahkamah Tinggi, Kamaludin Md Said menetapkan 23 Januari ini untuk mendengar bantahan awal SPR terhadap permohonan 6 pengundi itu.

Enam pengundi yang diketuai Abu Bakar Ibrahim itu memohon untuk mengeluarkan 102 anggota tentera yang dimasukkan dalam daftar pemilih Segamat.

Mereka juga mahu satu pengisytiharan mahkamah yang kemasukan pengundi tentera ke kawasan Parlimen Segamat tidak berperlembagaan.

Mereka mahu kemasukan pengundi tentera dalam daftar pemilih Segamat dibekukan sehingga prosiding di mahkamah selesai.

Kumpulan pengundi itu menamakan SPR dan Pendaftar Pemilih Johor, Shafie Taib sebagai responden dalam semakan kehakiman itu.

Bulan lalu, sekumpulan 49 pengundi Segamat memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mengeluarkan 949 anggota tentera dan pasangan mereka sebagai pengundi baharu di sebuah kem tentera yang belum siap di kawasan Parlimen itu.

Kumpulan pengundi itu yang diketuai Abdul Wahab Hassan, mendapat kebenaran daripada sebuah Mahkamah Tinggi untuk mencabar keputusan SPR memasukkan 949 pengundi itu, semalam.

Mahkamah turut memberi kebenaran bagi menghalang SPR memasukkan nama pengundi tentera dan ahli keluarga mereka dalam daftar pemilih Segamat, sehingga kes itu selesai.

DAP sebelum itu mempertikaikan tindakan memindahkan kumpulan anggota tentera itu dan sama ada ia bertujuan menyelamatkan kerusi Parlimen itu daripada jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pada PRU13, Presiden MIC merangkap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam menewaskan calon PKR, Datuk Dr Chua Jui Meng dengan majoriti 1,217 undi.



Appear first on Sudut Malaysia

Artikel Terkait