Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
GOMBAK: Tiada kewajaran untuk Selangor mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) lebih awal, susulan isu persempadanan semula yang sedang diusahakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ujar Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Kata Azmin lagi, kerajaan negeri mengambil kira tempoh mandat Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sudah hampir tamat, selain menegaskan ia adalah satu pembaziran yang melibatkan sejumlah besar wang rakyat.
“Saya berpandangan bahawa isu ni tidak lagi relevan kerana tempoh penggal ini akan berakhir dalam beberapa bulan yang akan datang.
“Dan sudah tentu cadangan ini tidak munasabah kerana ia akan menimbulkan keresahan dikalangan rakyat mengapa diadakan ketika tempoh penggal ini hampir berakhir.
"Ini juga akan menyebabkan kos yang lebih besar, melibatkan duit rakyat,” beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan sumbangan kerajaan negeri di Masjid Zakariah di sini hari ini.
Azmin berkata demikian mengulas cadangan penganalisis politik Wong Chin Huat, agar kerajaan Selangor membubarkan DUN sebelum menjelang PRU14.
Menurut Chin Huat cadangan tersebut berpotensi untuk menangkis kesan persempadanan semula pilihan raya yang didakwa akan memihak kepada Barisan Nasional (BN).
Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan kerajaan negeri Selangor untuk menangguhkan kehadirannya di inkuiri awam mengenai pelaksanaan persempadanan semula oleh SPR.
Inkuiri awam SPR akan diteruskan seperti biasa tanpa kehadiran wakil kerajaan negeri Selangor.
Sebelum ini kerajaan Selangor mendakwa ia melanggar Perlembagaan Persekutuan dalam menetapkan sempadan baru kawasan pilihan raya.
Ini kerana kira-kira 136, 272 pemilih di negeri itu mempunyai alamat yang tidak sama seperti yang terkandung dalam rang daftar pemilih.
Parlimen akan terbubar secara automatik pada 24 Jun dan PRU14 perlu dilakukan selewat-lewatnya pada Ogos.
Appear first on Sudut Malaysia