PUTRAJAYA, 8 Zulhijjah 1439H, Isnin – Kementerian Kesihatan mengesahkan pihaknya menerima aduan berhubung penggunaan bahasa Mandarin dalam kalangan pengamal perubatan ketika proses pembelajaran di hospital.
Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Azman Abu Bakar berkata, aduan diterima secara lisan daripada satu laporan di Pulau Pinang.
Serentak itu katanya, arahan telah dikeluarkan kepada Pengarah Kesihatan Negeri untuk membuat siasatan dengan bertanyakan hal itu kepada semua kakitangan hospital yang terlibat.
“Jika hasil siasatan mendapati ia benar, tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya pada sidang media hari ini.
Memetik portal liberal, seorang pegawai perubatan mendakwa, majoriti pakar perubatan membuat perbincangan dan pembelajaran menggunakan bahasa Mandarin.
Difahamkan, walaupun sudah beberapa kali disuruh untuk menggunakan bahasa Melayu atau Inggeris, permintaan tersebut tetap diabaikan.
Perkara berkenaan menyebabkan berlakunya halangan dalam proses pembelajaran terutama dalam memahami terma-terma perubatan ketika membuat rondaan hospital. - ismaweb
Appear first on Sudut Malaysia