Senin, 20 Agustus 2018

Pesta laknat: Menteri bisu, takut (Menteri Tandas LGBT)


DUA laporan polis dibuat terhadap Pengerusi Gerakan Muslimah Malaysia, Wan Asshima Kamaruddin, kerana didakwa menuduh dua menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) membenarkan golongan dilaknat – gay – mengadakan pesta besar-besaran di ibu negara.
Demikianlah, begitu cepatnya mereka tersinggung, lantas membuat aduan supaya pihak yang membuat tuduhan disiasat.
Bukannya tidak boleh menafikan tuduhan itu seperti biasa. Tetapi hairannya apabila laporan polis dibuat. Pedang lihat tujuannya untuk ‘memberi amaran’ atau ‘mengugut’ supaya tidak ada pihak yang boleh membuat tuduhan terhadap mereka tanpa bukti, sebagaimana yang mereka pernah lakukan ketika masih menjadi pembangkang dahulu.
Dulu, macam-macam mereka tuduh, fitnah pemimpin dalam kerajaan lama. Sekarang, mereka mahu menutup mulut rakyat daripada menuduh mereka.
Pedang bukan sokong tuduhan-tuduhan tanpa bukti. Tapi, kenapa mereka cepat melatah jika ada pihak menyerang diri mereka, sedang mereka tidak tersinggung dengan usaha mengangkat perbuatan songsang, yang jelas mencemarkan imej Malaysia sebagai negara Islam.
Atau, Malaysia di bawah kerajaan baharu sekarang ini, yang kuasanya dimonopoli orang kafir, bukan lagi sebuah negara Islam?
Demikianlah begitu lambatnya mereka tersinggung jika ada sesuatu perkara berbangkit yang menjejaskan bangsa Melayu atau Islam yang menjadi agama Persekutuan dan termaktub dalam Perlembagaan Negara.
Kelewatan untuk mereka sensitif terhadap isu yang mencabar Islam di negara ini, tidak pun menghairankan Pedang, kerana suara mereka dalam pentadbiran negara dan dalam kerajaan PH, hanya minoriti. Mereka takut, kecut kepada suara-suara sumbang yang bangkit selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Mei lalu.
Mereka gelabah apabila puak-puak minoriti bersuara. Lalu, bertindak mendiskriminasi rakyat majoriti. Mereka mengikut suara golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang hanya beberapa kerat sahaja, tetapi mengetepi dan mendiskriminasikan suara majoriti.
Mereka membuat laporan polis kemudian memanggil sidang media untuk mengumumkan tindakan itu kepada rakyat. Tetapi, mereka diam, tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap pesta gay yang bakal diadakan pada 30 Ogos hingga 1 September ini, di ibu negara.
Mereka memperkenalkan fahaman baru di Malaysia. Berusaha supaya Islam menerima liberty (kebebasan), equality (persamaan) dan fraternity (persaudaraan), sedang ketiga-tiga perjuangan itu sebenarnya mengancam Islam – tapi mereka tidak mempedulikan.
Sebagai pemimpin Islam, mereka diamanahkan untuk menjaga umat Islam, negara dan rakyat. Amanah yang diberi itu jika mereka sedar datangnya daripada Allah.
Pedang nak peringatkan amaran Allah kepada mereka:
Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.” (Al-Ahzab ayat 72)
Semoga Khalid Samad dan Mujahid Yusof Rawa dibukakan hati dan diberi kekuatan untuk mengeluarkan arahan membatalkan pesta gay yang boleh mencemarkan imej Malaysia pada mata negara Islam lain.
Sebagaimana arahan dikeluarkan untuk menurunkan potret aktivis transgender di Pulau Pinang, Pedang mewakili Islam menggesa Mujahid yang diberi amanah menjaga Islam bertindak tegas menjaga kesucian agama ini.
Dan, Khalid pula diberikan Allah untuk mengujinya dengan menjaga Wilayah Persekutuan. Memang benar Tun Dr Mahathir Mohamad yang melantik Khalid, tetapi sebenarnya Allah Taala yang menggerakkan hati Dr Mahathir supaya memilih Khalid.
Lalu, Khalid dan Mujahid patut sedar bahawa yang melantik dan memberi amanah kepada mereka ialah Allah.
Kepada kedua-duanya, Pedang gesa keluarkan segera arahan membatalkan pesta laknat itu.
Kata Pedang: Ingatlah! Bala tidak menimpa golongan yang melakukan kemungkaran sahaja, tetapi akan menimpa orang lain juga, termasuk anak-anak pak dan mak menteri.
Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang ismaweb.net


Appear first on Sudut Malaysia

Artikel Terkait