Pengertian merdeka yang sebenar ialah bebas dari penjajahan serta mampu kembali kepada keadaan asal sebelum dijajah. Kegemilangan Tamadun Melayu sebelum dijarah kuasa asing pada 1511 sepatutnya menjadi rujukan utama dalam kita mentakrifkan keadaan asal tamadun dan Tanah Melayu sebelum dijajah.
Sejak tumbangnya Kota Melaka ke tangan Portugis, usaha membebaskan Tanah Melayu terus berjalan. Para pejuang dan pemimpin melayu silih berganti, berusaha dengan harta, jiwa dan raga mereka. Perjuangan mereka bukan sahaja untuk mempertahankan sisa-sisa ketuanan yang masih ada bahkan juga bagi mengembalikan kedudukan orang Melayu sebagai tuan kepada tanah ini.
Meskipun laungan kemerdekaan telah kembali bergema di tanah air ini, namun generasi hari ini masih dalam keadaan keliru dalam mengisi kemerdekaan yang dikecapi. Pertembungan ideologi dalam mendefinasikan identiti negara yang dahulunya berlaku pra kemerdekaan kini bagaikan kembali mengulangi sejarah.
Kebelakangan ini kita sendiri telah menyaksikan keruntuhan beberapa tiang kekuatan utama Melayu Islam dalam pentadbiran negara. Posisi - posisi strategik dalam negara seperti Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara kini tidak lagi menjadi milik Melayu Islam.
Dalam masa yang sama suara-suara yang mempertikaikan kedudukan Melayu dan Islam menjadi semakin lantang dan telah mengguris hati umat Melayu Islam di negara ini. Hak Bumiputera dan juga Islam semakin banyak dipersoal dengan nada sinis dan penuh kebencian.
Seruan ‘Ini Negara Perjuangan’ mengajak semua warga tanah tercinta ini untuk kembali melihat perjuangan Bangsa Melayu dalam berusaha mendapatkan kembali kuasa dan kegemilangan Umat Melayu Islam setelah dijajah hampir 500 tahun. Meskipun negara telah 61 tahun merdeka, namun perjuangan dalam mengisi kemerdekaan masih tetap punya cabaran dan ujian yang tersendiri. Sehingga ke hari ini Umat Melayu Islam masih jauh dari keadaan asal iaitu Ketamadunan Melayu Islam yang memimpin Nusantara suatu ketika dahulu.
Justeru, atas semangat dan kesedaran ini, Sekretariat Kempen Ini Negara Perjuangan serta NGO-NGO yang bersama dengannya menyeru agar beberapa perkara berikut harus dilaksanakan segera oleh pemerintah agar sisa Ketuanan Melayu dan Kedaulatan Islam pasca penjajahan ini dapat dipertahankan.
1. Mewartakan Melayu sebagai penduduk asal dan pemula tamadun
2. Mengangkat Tamadun Sungai Batu sebagai Tamadun Melayu.
3. Mewartakan 1 Februari sebagai hari memperingati Pembentukan Persekutuan
Tanah Melayu.
4. Pembentukan muzium panorama/ tugu untuk memperingati 400 tahun Melayu
menentang penjajahan.
5. Mengangkat semula Keagungan Tamadun Melayu Islam dan perjuangan
mengembalikannya dengan menambah kandungan berkenaan dengan perkara
tersebut dalam sukatan pelajaran bagi matapelajaran sejarah.
6. Menamakan semula nama tempat yang dinamakan British seperti Georgetown,
Butterworth, Taiping dan Port Dickson dengan nama Melayu.
7. Pengunaan Bahasa Melayu dalam subjek Sains dan Matematik sepenuhnya
dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan.
8. Menggiatkan usaha menterjemah buku- buku rujukan universiti berkaitan Sains
dan Matematik ke dalam Bahasa Melayu.
9. Menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa mahkamah.
10. Mewujudkan Akta Derhaka untuk perkara berikut ;
• Tidak Menghormati Yang Dipertuan Agung
•Tidak Menghormati Institusi dan Simbol Negara
•Tidak Menghormati Kedudukan Orang Melayu , Anak Sabah Dan Sarawak
•Menafikan Hak Kerakyatan
•Menghina Agama Persekutuan
•Mengkhianati Amanat Raja Raja Melayu 1948
11. Memperuntukan dana bagi pembikinan filem berbentuk patriotik dan
perjuangan yang boleh mengangkat identiti negara.
12. Mengangkat silat sebagai sukan kebangsaan.
Seruan ini adalah seruan pengharapan kepada semua generasi anak cucu dan titis keturunan melayu islam agar kembali bersatu dan menuntut perkara berikut dalam kita mengisi kemerdekaan yang kita kecapi kini.
Appear first on Sudut Malaysia