17 Zulhijjah 1439H, Rabu– Kenyataan yang dikeluarkan Pengurus Program Sisters in Islam (SIS), Shareena Sheriff mengenai Islam yang disifatkannya sebagai endemik, dianggap perbuatan kurang ajar dan biadap terhadap agama Persekutuan.
Pegawai Eksekutif Biro Islamiyat ISMA, Ahmad Nu’man bin Mazlan berkata, mengatakan Islam sebagai satu ‘penyakit’ yang merebak dalam pentadbiran, perundangan dan badan eksekutif negara adalah kenyataan kurang ajar dan biadap terhadap Islam.
Beliau berkata, dalam forum ‘Malaysia Baru: 61 Tahun Selepas Merdeka, Adakah Etnik dan Agama Masih Penting?’ semalam, Shareena telah berkata bahawa Islam telah menjadi satu endemik yang memberi kesan kepada hampir semua aspek pentadbiran, perundangan dan badan eksekutif negara.
“Endemik adalah satu istilah bagi penyakit. Dalam kamus DBP sendiri endemik bermaksud “penyakit yang sentiasa terdapat pada orang atau daerah tertentu,” kata Nu’man merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat.
Beliau berkata, Shareena juga mendakwa keadaan itu menyebabkan usaha untuk memisahkan Islam daripada fungsi kerajaan sekarang ataupun dalam masa terdekat sukar untuk dilakukan.
Menjawab persoalan itu, Nu’man berkata, kenyataan berkenaan menunjukkan perjuangan puak sekular dan liberal sudah tidak berselindung lagi dan amat berani apabila diungkapkan di khalayak.
“Seruan liberal dan pluralisme ini hanyalah untuk menghalalkan hawa nafsu atas nama Islam. Islam sebenar itu hanya satu yang dibawa oleh Rasulullah ﷺ, dan sesuai hingga ke Hari Kiamat.
“Islam moden, Islam liberal atau Islam moderat hanyalah pakej yang dicipta Barat seperti RAND Corporation untuk mencairkan identiti umat Islam tanpa dia menjadi murtad. Mereka ingin menjadikan Islam ini agama tanpa akidah dan syariat,” katanya.
Nu’man yang juga seorang aktivis Islam berkata, perjuangan puak-puak itu pastinya mendapat tempat selesa di dalam kerajaan apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, sendiri merasmikannya.
“Satu lagi kemusykilan adalah program ini anjuran Gabungan Bertindak Malaysia. Pengerusi GBM adalah Zaid Kamaruddin, pimpinan IKRAM. Zaid Kamaruddin perlu beri penjelasan mengenai program ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan umat Islam supaya tidak terus terlena atau masih ‘in denial’ dengan mengatakan tuduhan berkenaan hanya sekadar persepsi.
“Jangan tunggu identiti negara sudah berubah sepenuhnya menjadi liberal demokratik baru hendak kembali bertegas perjuangkan Islam. Saat itu sudah terlambat,” katanya.
Appear first on Sudut Malaysia