Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berjanji menghalang orang asing daripada membeli hartanah projek Forest City di Johor.
"Satu hal yang pasti, bandar yang sedang dibina itu tidak akan dijual kepada orang asing. Kami tidak akan memberikan visa untuk orang datang dan tinggal di sana.
Bantahan kami kerana ia dibina untuk orang asing dan bukan rakyat Malaysia. Kebanyakan warga Malaysia tidak mampu membeli hartanah berkenaan," kata Dr Mahathir kepada pemberita di Kuala Lumpur.
Perdana menteri tidak menjelaskan secara terperinci jika larangan penjualan hartanah Forest City kepada orang asing sudah berkuatkuasa.
Forest City dibina syarikat China, Country Garden Holdings Company dengan usaha sama Sultan Johor, bandar itu dirancang seluas 13.86 kilometer persegi di atas pulau buatan.
Pemaju menjangkakan penduduk seramai 700,000 orang menjelang 2035, tetapi hartanah itu kebanyakan dipasarkan untuk orang asing.
Pemasaran hartanah itu mengiklankan Forest City sebagai bandar hijau yang menawarkan penjagaan kesihatan dan pendidikan terbaik yang berhampiran dengan SIngapura.
Menjelang pilihan raya umum 9 Mei lalu, Mahathir berulang kali mengkritik perdana menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak kerana membenarkan pembinaan projek tersebut, berkata ia akan mengubah demografi penduduk Johor dengan besar.
Beliau juga mendakwa projek itu dipasarkan sebagai pemilikan "pegangan bebas" walaupun Najib menafikannya. - MK
Appear first on Sudut Malaysia