Kerajaan akan mengurangkan jumlah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sedikit demi sedikit sebelum ia dimansuhkan.
Memetik wawancara The Malaysia Insight, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah tersebut bertujuan untuk memastikan rakyat lebih berdikari dan tidak hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata.
“Kita akan kurangkan sedikit demi sedikit apa yang kita berikan kepada mereka (BR1M) dan jelaskan kepada mereka apa objektif kita.
“Saya sentiasa cakap mengenai tongkat. Buanglah tongkat anda, berjalan di atas kaki sendiri. Barulah anda menjadi kuat dan anda akan jadi lebih baik.
“Jika anda hanya suap rakyat, mereka akan jadi lemah,” katanya.
Pada 15 Mei lalu, Dr Mahathir memaklumkan pemberian BR1M akan diteruskan, namun beberapa perkara dalam pemberian itu akan dikaji semula bagi memastikan hanya golongan yang benar-benar layak sahaja akan menerima bantuan tersebut.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir mendakwa, Najib sebelum ini telah memanjakan rakyat dengan hanya memberikan rakyat wang tanpa perlu melakukan kerja.
“Najib memanjakan rakyat dengan membuatkan mereka fikir tanpa melakukan sebarang kerja kerajaan akan berikan wang kepada mereka.
“Sekarang kita tidak boleh berikan mereka wang kerana kita tidak mencuri wang, tetapi mereka masih mahu wang (BR1M).
“Mereka (rakyat) menjadi sangat bergantung kepada kerajaan dan ini adalah tidak baik. Mana-mana negara yang rakyatnya berasa kerajaan akan membayar wang walaupun tidak melakukan apa-apa, ia akan muflis,” katanya.
Mahathir berkata, objektif kerajaan baru adalah untuk menyediakan peluang pekerjaan sebanyak mungkin menerusi pelaburan asing dan domestik. - SH
Appear first on Sudut Malaysia