Senin, 17 September 2018

Islam akan kembali kuasai dunia bawa sejahtera


KUALA NERUS: Islam akan kembali menguasai semula dunia, tetapi bukan menerusi penjajahan, peperangan atau persenjataan, sebaliknya dengan akhlak, kepimpinan, moral dan contoh yang baik.

Timbalan Presiden PAS, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, polemik dibangkitkan oleh golongan yang sebahagian mungkin tidak memahami, telah menyebabkan manusia mula mengkaji dan mendalami Islam.

"Sebagai contoh, Islamophobia yang ditanam oleh kuasa besar khususnya Amerika ke atas dunia Islam, menimbulkan suatu fenomena baru di Eropah. Di mana mereka mengkaji, betul tak apa yang disangka kepada Islam.

"Dengan kajian itu akhirnya mereka menemui apa yang dituduh, difitnah itu jauh meleset. Dan hari ini kita menyaksikan suatu kebangkitan semula Islam," ujarnya pada Ucapan Penggulungan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini hari ini.

Menurut beliau, PAS juga mengambil nota dan akan berusaha untuk mengatasi isu berkenaan kebimbangan dan ketakutan masyarakat bukan Islam terhadap kedudukan mereka dalam negara.

Termasuk katanya, pandangan terbaharu MCA yang membayangkan terbubarnya BN bila Umno bersama PAS berikutan parti masyarakat Cina itu melihat PAS dengan anggapan sebagai ekstrem, pelampau dan seumpamanya.

"Musuh utama manusia kejahilannya. Saya nak jelaskan, PAS berada 67 tahun dalam politik Malaysia. Kita melalui peraturan-peraturan yang ada dalam negara. PAS ialah parti yang berdaftar dengan pertubuhan. Kita mengikuti semua peraturan-peraturan yang ada. 

"Kita memerintah Kelantan lima penggal. Saksikan bagaimana yang berlaku di Kelantan di Terengganu dan negeri-negeri lain bagaimana PAS bukan parti yang digambarkan sebagai parti ekstrem atau pelampau. 

"Bahkan saya melihat kebimbangan mereka hanya satu sebab sahaja, kerana kita memperkatakan tentang Islam," ujarnya memetik ayat 8 surah al-Buruj dan kisah Ashabul Ukhdud. 

Demikian itu, PAS katanya tidak akan melawan sebaliknya sedia beri penjelasan hingga dapat menerangkan mengenai hakikat perjuangan PAS sebagaimana diyakini rakan-rakan Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Dato' Tuan Ibrahim turut menyentuh mengenai isu hukuman takzir yang memerlukan penyelarasan antara negeri-negeri agar tidak menimbulkan salah sangka dalam kalangan masyarakat kerana tidak memahami atau jahil mengenainya.

Pun begitu, beliau memandang semua isu berkaitan secara positif di mana setiap penentangan yang berlaku juga menatijahkan kajian pihak tertentu hingga merubah salah tafsir mereka terhadap Islam. -HARAKAHDAILY 16/9/2018


Appear first on Sudut Malaysia

Artikel Terkait