Selasa, 18 September 2018

KENAPA MCA CUKUP ANTI KEPADA KERJASAMA UMNO-PAS?


KENAPA MCA CUKUP ANTI KEPADA KERJASAMA UMNO-PAS?

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ir Wee Ka Siong, melalui satu kenyataan rasmi beliau semalam meletakkan kekalahan BN dalam PRU 14 ke atas pundak UMNO dengan menyebut bahawa pengundi Cina dan India menolak BN dalam PRU 14 kerana mereka merasakan UMNO adalah “autoritarian dan rasis”.

Serentak dengan itu, Wee Ka Siong menolak kerjasama UMNO-PAS kerana kerjasama ini didakwa akan menjauhkan lagi pengundi Cina dan India ke arah PH di mana kerjasama ini didakwa akan menyebabkan BN mengalami kekalahan di 85 daripada 222 kerusi Parlimen yang memiliki lebih 35% pengundi Cina dan India.

Soal sama ada UMNO adalah “autoritarian dan rasis” atau tidak adalah perkara yang boleh diperdebatkan, tetapi sikap Wee Ka Siong yang menuding jari ke arah UMNO atas kekalahan calon-calon MCA adalah sangat tidak bertanggungjawab kerana para pemimpin MCA sepatutnya melihat ke dalam diri mereka sendiri juga.

Ini kerana calon-calon MCA sendiri sudah sedia ditolak oleh para pengundi dalam PRU 12 dan PRU 13 lagi dan hanya diselamatkan oleh pengundi Melayu, tetapi walaupun pengundi Melayulah yang menyelamatkan mereka sebelum ini mereka semakin hari semakin menunjukkan sikap rasis yang melukakan pengundi Melayu.

Wee Ka Siong sendiri sebagai satu-satunya calon Parlimen MCA yang menang dalam PRU 14 lalu tidak akan menang jika tidak kerana bantuan PAS melalui calonnya, Haji Mardi Marwan, yang memperolehi 4975 undi kerana majoriti yang beliau perolehi ke atas calon DAP, Liew Chin Tong, hanyalah sekadar 303 undi sahaja.

Penolakan Wee Ka Siong ke atas kerjasama UMNO-PAS ini mengingatkan saya kepada sikap sangat kritikal para pemimpin MCA terhadap kerjasama UMNO-PAS antara tahun 1973 ke tahun 1977 dahulu di mana rekod-rekod sejarah menunjukkan betapa merekalah yang sangat kuat menentang kerjasama UMNO-PAS ini.

Bila saranan Kerajaan Campuran Perikatan-PAS mula-mula disuarakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Tan Sri Abdul Samad Idris, pada 11 Disember 1970, Presiden MCA waktu itu, rekod sejarah menunjukkan Tun Tan Siew Sin adalah pembangkang terawal kepada cadangan ini.

Bagaimanapun, atas kekuatan peribadi Presiden UMNO waktu itu, Tun Abdul Razak Hussein, yang akhirnya menyuarakan sendiri cadangan ini, dengan sokongan Timbalan Presiden UMNO waktu itu, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Kerajaan Campuran Perikatan-PAS ini menjadi kenyataan mulai 1 Januari 1973.

Itu pun Presiden PAS waktu itu, Tan Sri Mohd Asri Muda, masih menyebut di dalam Muktamar Khas PAS pada 21 Disember 1972 mengenai usaha keras yang dibuat oleh MCA, yang beliau rujukkan sebagai "satu kuasa asing dalam negara ini", untuk menggagalkan pembentukan Kerajaan Campuran Perikatan-PAS ini.

Begitu juga dengan pendedahan Tan Sri Mohd Asri Muda di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 9 Januari 1978 mengenai peranan aktif yang dimainkan oleh para pemimpin MCA untuk memecat PAS dari Barisan Nasional dan mengenai kegembiraan mereka ekoran terpecatnya PAS pada 13 Disember 1977.

Masih tidak berubah lagi rupanya pemimpin MCA ini.

Dr. Kamrul Yusoff


Appear first on Sudut Malaysia

Artikel Terkait