Ahli Parlimen Arau itu berkata, beliau ada mendengar khabar angin mengenai terdapat Ahli Parlimen UMNO bakal meninggalkan parti dan jumlahnya dikatakan seramai 18 orang.
"Saya ada dengar...18 orang, siapa mereka? Itu rahsia. Pemimpin ini dari semua negeri.
Ini pun khabar angin..walaupun khabar angin dari 18 nama itu dua daripadanya betul iaitu Tok Pa (Datuk Seri Mustafa Mohamed) dan (Datuk Seri) Anifah Aman," katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.
Semalam, Mustafa yang juga Ahli Parlimen Jeli mengumumkan keluar UMNO, manakala Anifah yang juga Ahli Parlimen Kimanis, turut mengambil langkah sama hari ini.
Shahidan yang turut ditanya sama ada namanya turut tersenarai dalam kalangan pemimpin UMNO yang akan keluar parti, beliau hanya memberi jawapan 'tidak tahu'
"Saya tidak perasan pula nama saya ada atau tidak pada senarai khabar angin itu.
"Cuma setakat ini tiada pula yang mengajak saya keluar dan saya pula tidak pernah mengajak sesiapa dalam UMNO untuk keluar," katanya.
Mengulas lanjut, Shahidan berkata, tiada keperluan untuk beliau keluar dari UMNO dan turut mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka yang keluar dari parti berkenaan.
"Hendak keluar tu keluar sahaja, tidak perlu komen pasal UMNO.
"Lebih baik lepas keluar berhenti sekali jadi Ahli Parlimen kerana rakyat memilih UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada waktu anda menang," katanya. - SH
Appear first on Sudut Malaysia