UMNO kata PKR akan keluar PH, wujud blok baru tadbir negara
KUALA LUMPUR, 7 Muharram 1440H, Isnin – PKR akan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dan membentuk gabungan baharu dengan UMNO, PAS, MCA, MIC dan beberapa parti di Sabah serta Sarawak, untuk mengambil alih pentadbiran negara.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, gabungan parti berkenaan mungkin diwujudkan, membentuk Pakatan Malaysia untuk mentadbir negara.
Beliau berkata, gabungan yang digelar Pakatan Malaysia itu tidak mustahil akan berlaku dengan berbekalkan formula yang betul dan utuh, bagi memberi tentangan hebat kepada PH.
“Malaysia waktu ini akan dicorakkan oleh ‘one political coalition against a myriad of political parties’. Maknanya, semua parti politik mempunyai pengaruh dan kepentingan strategik sendiri dalam pembentukan kerajaan. Setiap satunya harus strategik dan terbuka dalam menentukan survival.
“Tidak mustahil untuk UMNO, PAS, MIC, MCA, GPS di Sarawak dan Gabungan Bersatu Sabah, bergabung bersama PKR dan menubuhkan sebuah gabungan baharu ‘Pakatan Malaysia’, bukan lagi ‘Pakatan Harapan’,” katanya seperti dilapor BH Online.
Khaled berkata, walaupun isyarat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) cukup jelas, UMNO tidak akan terus pasrah dan berpeluk tubuh, sebaliknya akan dirawat dan dipulihkan.
“Itulah fitrah kehidupan. Kami tidak menyesal. Kami akan belajar dari kesilapan. UMNO faham pengajaran besar ini dan berhasrat untuk tidak mengulanginya lagi. Insya-Allah kami akan islahkan UMNO,” katanya. - ismaweb
Appear first on Sudut Malaysia