PORT DICKSON - Ranting PKR Kuala Lukut gesa Parti Bersatu Port Dickson menarik semula kenyataan yang berniat mensabotaj PRK Parlimen Port Dickson.
Timbalannya, Mohd Hafiz Mohammad berkata, tindakan ahli Bersatu mengugut ahlinya tidak akan keluar mengundi jika Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani turun berkempen pada PRK nanti adalah tidak wajar.
Menurutnya, Bersatu tiada hak untuk menyekat mana-mana individu dari PKR untuk berkempen, memandangkan calon yang bertanding itu merupakan presiden parti serta bakal perdana menteri ke lapan.
"Saya memohon ahli Bersatu Port Dickson terutamanya penyelarasnya, Ramli Awang untuk menarik balik kenyataan tersebut.
"Sekiranya berlaku sebarang unsur sabotaj mahupun halangan ke atas kempen yang dijalankan, PKR Ranting Kuala Lukut tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.
"Kita akan bertindak tegas dan akan menentang mana-mana halangan yang wujud semasa kempen untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Balai Raya Kuala Lukut di sini tadi.
Hadir sama, Ketua Ranting PKR Kuala Lukut, Farouk Arbae serta ahlinya.
Tambah Mohd Hafiz, pihaknya sudah bersedia hadapi PRK dan yakin kerusi tersebut akan berjaya dipertahankan memandangkan momentum Pakatan Harapan (PH) kini semakin memuncak.
Katanya, sebagai salah satu parti komponen dalam PH sepatutnya kerjasama antara semua parti perlu disatukan bagi memastikan bakal PM menang, bukan pula sebaliknya. - SH
Appear first on Sudut Malaysia