Minggu, 16 September 2018

PAS, Umno sedang gigih 'membunuh hantu' rekaan HARAPAN

MUKTAMAR | Seorang pemimpin kanan PAS berkata parti itu dan Umno sedang gigih "membunuh hantu" yang dicipta Pakatan Harapan (HARAPAN) sehingga kedua-dua parti mengalami kekalahan dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.
Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Mokhtar Senik berkata selama ini "hantu" tersebut berjaya diciptakan oleh HARAPAN sehingga PAS dan Umno tidak mampu berhubung rapat.
Katanya dengan ciptaan "hantu" berkenaan" orang Umno sentiasa dibayangi ketakutan akan kalah jika dilihat menjalin hubungan baik dengan PAS.
Pada masa sama, kata bekas calon PAS untuk kerusi parlimen Padang Besar itu, orang PAS juga bimbang akan ditolak apabila dilihat dekat dengan Umno.
"Ternyata PAS dan Umno kalah juga walaupun mereka tidak ber-UG," katanya dengan merujuk cadangan kerajaan perpaduan (unity government) yang pernah hangat diperkatakan suatu ketika dulu.
Menggelarkan isu itu sebagai "hantu UG" Mokhtar berkata tidak perlu PAS dan Umno bergabung kerana apa yang lebih penting ialah ada semangat kerjasama demi memperjuangkan isu Melayu dan Islam.
"Kini kedua-dua pihak sedang berusaha membunuh hantu ciptaan HARAPAN itu.
"Biar PAS dan Umno tidak bergabung, tapi dengan semangat kerjasama atas kepentingan Melayu Islam, mereka akan mampu menjadikan hantu ciptaan HARAPAN itu berpaling tadah mengigit tuannya sendiri," katanya mengulas perkembangan terkini hari ini di Facebook beliau.
Indahnya Melayu sokong PAS
Mokhtar yang turut dianggap salah seorang ulama kanan PAS berada di Kuala Terengganu untuk menghadiri muktamar tahunan parti berkenaan yang akan berlangsung sehingga esok.
Pagi tadi majlis perasmian dan ucapan dasar presiden PAS turut dimeriahkan dengan kehadiran pemimpin tertinggi Umno diketuai presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menyertai bekas timbalan perdana menteri itu ialah dua daripada tiga naib presiden Umno, setiausaha agung dan ketua penerangannya.
Tidak ketinggalan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri SK Devamany.
Kata Mokhtar beliau melihat kemunculan rombongan Umno itu sebagai petanda baik ke arah terjalinnya sebuah kerjasama blok pembangkang yang akan memberi lebih banyak kebaikan kepada negara.
Bagaimanapun kata Mokhtar perkembangan itu tidak disenangi HARAPAN kerana mereka memang takut kedua-dua parti menjalin hubungan yang baik.
Malah katanya "hantu" ciptaan HARAPAN itu diwujudkan bagi mengelak PAS dan Umno berhubung baik.
"HARAPAN mula resah melihat kehadiran pimpinan Umno di pentas-pentas PAS. Dan semakin gelisah melihat ahli-ahli PAS tidak menghalau Zahid dan pimpinan Umno dari majlis PAS," katanya.
Pada masa sama Mokhtar juga membayangkan suasana "indah" jika kerjasama atas nama Melayu dan Islam itu turut disertai anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PKR.
"Saya membayangkan alangkah indah jika Melayu Islam dalam BERSATU dan PKR itu dapat bersama pula dengan Melayu Umno menyokong PAS mendaulatkan kepentingan Islam," katanya.
Untuk rekod sebelum PRU ke-14 PAS sudah membentuk kerjasama dengan beberapa parti lain sehingga lahirnya Gagasan Sejahtera.
Bagaimanapun selepas 9 Mei tidak dapat dipastikan status gagasan yang diuar-uarkan PAS sebelum itu sebaliknya mereka lebih terbuka menerima Umno.
Selain BERSATU dan PKR, sebuah lagi parti yang dianggotai orang Melayu Islam ialah Parti Amanah Negara (AMANAH). - mk


Appear first on Sudut Malaysia

Artikel Terkait