Senin, 22 Oktober 2018

Apa motif Hishammuddin TAWAR DIRI cari Jho Low

Seorang ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) mempersoalkan motif bekas menteri pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menawarkan diri mencari ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low di China bagi menyelesaikan skandal 1MDB.
Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah) meminta kerajaan menyiasat sama ada tawaran Hishammuddin itu ialah cubaan untuk melepaskan diri daripada siasatan membabitkan tindakan kerajaan terdahulu.
Timbalan menteri industri utama itu berkata, tiada keperluan Hishammuddin menawarkan diri kerana hubungan baik Malaysia dan China sudah memadai untuk mencari Jho Low.
“Kita sedia maklum sekarang ini ramai pemimpin Umno dibawa ke mahkamah dan dituduh atas kesalahan rasuah dan penyelewengan.
“Kita tidak mahu ada sebarang persepsi tawaran itu bertujuan melepaskan diri dengan perkara-perkara bersangkutan kerajaan yang lalu,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
“Kalau nak digerakkan jentera keselamatan ke sana bagi tujuan membantu kes ini, sudah pasti negara kita boleh menghantar pasukan untuk menjejaki Jho Low dan tidak perlu tawaran Hishammuddin.”
Semalam, Hishammuddin dilaporkan berkata, Putrajaya tidak meminta bantuannya, tetapi beliau menawarkan diri membantu kerajaan atas kapasiti peribadi menggunakan hubungan terdahulunya dengan pemimpin China.
“Saya secara peribadi akan ke China untuk bawa balik Jho Low ke muka pengadilan. Kalau beliau masih berada di luar negara, kita rasa kes 1MDB ini tak selesai,” kata ahli Parlimen Sembrong itu. - FMT


Appear first on Sudut Malaysia

Artikel Terkait