PUTRAJAYA - Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia memutuskan mengurangkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi alat penyapu lantai daripada 10 peratus kepada lima peratus.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pengurangan cukai itu adalah lebih rendah daripada kadar enam peratus cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dikenakan terhadap alat penyapu lantai.
“Kementerian Kewangan berharap peniaga tidak akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan semata-mata kerana SST. Peniaga mesti ketahui bahawa SST adalah cukai seperingkat di mana cukai jualan hanya dikenakan sekali sahaja ke atas harga pengimportan atau pengilang.
“Manakala GST adalah cukai berperingkat dan cukai yang pengguna kena bayar adalah berdasarkan kepada harga peruncit (retail price) yang jauh lebih tinggi daripada harga pengimportan atau pengilang yang membayar SST,” katanya melalui kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, Guan Eng berkata, kaunter pertanyaan SST yang diwujudkan sejak Selasa lalu di Kompleks Kastam mendapat sambutan yang menggalakkan dari kalangan peniaga.
Katanya, lebih daripada 1,300 peniaga mengunjungi 10 kiosk dan 12 kaunter pertanyaan SST yang beroperasi di dalam tempoh empat hari tersebut pada pukul 9 pagi hingga 1 petang.
“Dua pegawai khas dari Pejabat Menteri Kewangan bersama pegawai Kastam berjaya menangani sebahagian besar daripada aduan, masalah dan pertanyaan berkenaan perlaksanaan SST serta perkara melibatkan dasar SST yang tidak dapat diselesaikan di peringkat Kastam telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk pertimbangan selanjutnya.
“Memandangkan perkhidmatan tersebut mendapat sambutan yang begitu hangat daripada kalangan peniaga maka operasi kaunter pertanyaan SST yang sedemikian akan diteruskan untuk minggu ini dan selepasnya, sehingga segala kekeliruan tentang perlaksanaan SST dapat dikurangkan kepada tahap yang memuaskan,” katanya. - SH
Appear first on Sudut Malaysia