Senin, 22 Oktober 2018

Gagal selesai isu Grab, pecat Anthony Loke

22 Okt. - Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad diminta memecat Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Mohd. Azharuddin Mat Sah dengan serta-merta.


Shamsubahrin berkata, Dr. Mahathir dalam sesi dialog bersama pemandu teksi di Langkawi semalam juga mengakui beliau telah mengarahkan Anthony Loke supaya mewujudkan peraturan pemandu Grab baharu seperti yang dicadangkan namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

Menurut Shamsubahrin, sekiranya pelaksanaan baharu itu gagal dilakukan dalam tempoh terdekat, beliau bercadang untuk mengadakan perhimpunan aman yang turut disertai kira-kira 3,000 pemandu teksi dari seluruh negara termasuk dari Johor, Pulau Pinang, Ipoh, Kuala Lumpur dan Selangor.

“Saya akan adakan perhimpunan aman pada Rabu ini, pukul sembilan pagi di Padang Merbok bermula di bangun APAD untuk menuntut Ketua Pegawai Eksekutifnya turun berjumpa dengan kami.

“Seterusnya, kami akan terus menuju ke Parlimen untuk menuntut Anthony Loke berjumpa dengan kami secara aman,” katanya dalam satu sidang akhbar berkaitan isu pemandu teksi biadab terhadap Dr. Mahathir yang meminta Perdana Menteri itu meletakkan jawatan.

Semalam, akhbar melaporkan Dr. Mahathir berkata, beliau bersedia untuk melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pada sesi Pertemuan Bersama Pemandu-Pemandu Teksi Langkawi di Dewan Kencana, Langkawi Lagoon.

Dr. Mahathir meluahkan demikian setelah kekecohan kecil dilakukan sekumpulan pemandu teksi ketika majlis itu berlangsung, sebelum mereka bertindak keluar dari dewan berkenaan.

Tindakan itu dipercayai ekoran rasa kurang senang kumpulan berkenaan di atas penjelasan Dr. Mahathir bahawa Grab tidak akan dihapuskan.

Sebaliknya Dr. Mahathir berkata, pihaknya akan mencari mekanisme terbaik untuk memastikan persaingan sihat antara pemandu teksi dan Grab.

Jelas Dr. Mahathir, tindakan untuk mengharamkan Grab bukannya mudah dan menyarankan peraturan supaya Grab menggunakan kenderaan yang diluluskan kerajaan, membayar insurans serta membayar cukai sama seperti pemandu teksi lain untuk mewujudkan persaingan sihat.

Pertemuan tersebut dihadiri lebih 200 pemandu teksi Langkawi yang meluahkan perasaan agar perkhidmatan Grab itu diharamkan kerana didakwa menyebabkan punca perkhidmatan mereka tergugat. - UTUSAN ONLINE



Appear first on Sudut Malaysia

Artikel Terkait