Minggu, 21 Oktober 2018

Gamis desak kenaikan yuran pengajian UM dibatalkan

13 Safar 1440H, Isnin – Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis) mendesak Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bertindak secara proaktif dalam memastikan keputusan kenaikan yuran pengajian Universiti Malaya (UM) dapat dibatalkan dengan kadar segera.
Presiden Gamis, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, kenaikan yuran oleh pihak pentadbiran tanpa notis baru-baru ini adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab
“Kenaikan sebanyak RM50 bagi penuntut lama dan RM100 bagi penuntut sesi 2018/2019 adalah beban baharu kepada mahasiswa UM untuk teruskan pelajaran mereka.
“Kami percaya kenaikan yuran ini adalah berpunca daripada pemotongan dana oleh kerajaan kepada sektor pendidikan negara dalam Bajet 2018 yang melibatkan beberapa universiti awam termasuk UM,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Maszlee berkata, pihaknya telah berhubung dengan UM bagi mengadakan perbincangan lanjut mengenai isu kenaikan yuran pengajian itu.
“Saya maklum perkara itu dan sedang berhubung dengan UM. Cuma beberapa perkara berkaitan dengan universiti awam, mereka mempunyai autonomi berkaitan yuran,” katanya
Sehubungan itu, Faizzuddin mencadangkan agar pentadbiran universiti menumpukan kepada usaha untuk menjana pendapatan universiti melalui Sistem Wakaf Pendidikan atau sumber kewangan yang lain dan tidak menjadikan mahasiswa sebagai sumber untuk menampung kos universiti.
Pada masa sama, pihaknya turut mengharapkan agar Menteri Pendidikan dapat melobi Perdana Menteri untuk memberikan dana kepada universiti awam dalam Bajet 2019 yang bakal dibentangkan supaya masalah kenaikan yuran pengajian di universiti tidak berulang lagi. - ismaweb


Appear first on Sudut Malaysia

Artikel Terkait