KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan harga telur ayam yang sebelum ini mengalami kenaikan ketara kembali stabil bermula hari ini.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata, harga telur ayam setiap gred akan kembali diturunkan sebanyak 2 sen selepas satu kata sepakat dicapai bersama Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) pada 14 Disember lalu.
“Pihak pengeluar telur ayam bersetuju atas cadangan kementerian untuk mengurangkan harga telur di peringkat ladang sebanyak 2 sen bagi menstabilkan harga di pasaran, serta memastikan bekalan telur ayam,” katanya pada sidang media di Parlimen.
Salahuddin seterusnya mengesahkan kesemua ladang telur ayam yang sebelum ini disyaki menghadapi masalah penyakit selsema burung kini bebas daripada jangkitan virus Avian Influenza H5 dan H7.
Katanya, masalah tersebut menjadi salah satu faktor berlakunya pengurangan pengeluaran telur ayam ke pasaran, terutamanya di bahagian utara Semenanjung.
“Selain itu kenaikan kadar tukaran wang asing dolar AS berbanding dengan Ringgit yang berada pada paras RM3.86 pada April 2018 meningkat ke RM4.18 pada November.
“Ini memberi kesan kepada kenaikan bahan makanan ternakan yang diimport dan seterusnya meningkatkan kos pengeluaran telur. Secara langsung ia memberi kesan kenaikan harga telur di ladang sebanyak 5%,” katanya lagi.
Sebelum ini timbul dakwaan mengatakan wujud kartel di sebalik kekurangan bekalan telur ayam yang dikatakan menjadi punca kenaikan harganya sejak kebelakangan ini.
Harga telur dilaporkan meningkat lebih 10 sen sejak 2 bulan lepas.
Usahawan runcit terkenal, Datuk Ameer Ali Mydin sebelum ini dilaporkan mencadangkan supaya kerajaan menguatkuasakan pengharaman sementara eksport barangan perlu apabila bekalannya berkurangan.
Bagaimanapun seorang pakar ekonomi dari Institut Demokrasi dan Hal-ehwal Ekonomi menolak cadangan itu, malah sebaliknya mencadangkan pasaran dibuka kepada pengeluar asing untuk menstabilkan harga telur ayam.
Appear first on Sudut Malaysia