Rabu, 23 Januari 2019

Perkasa pula gesa BUBARKAN parlimen

Desakan supaya kerajaan membubarkan parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum baru diadakan terus dilaungkan, kali ini oleh Perkasa.
Ketua penerangannya Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata langkah itu harus diambil susulan kedudukan kerajaan yang menurutnya tidak stabil dan bercelaru.
"(Ini) mengambil kira suasana pada masa ini yang amat bercelaru di mana kerajaan pun tidak kuat walaupun mendapat lebih 50 peratus kerusi di dalam parlimen tetapi dipimpin oleh parti yang mempunyai sekadar 12 kerusi (Bersatu),” katanya.

Nasrul berkata antara isu yang menghantui rakyat seperti kos sara hidup, keselamatan sosial tidak terjamin ekoran akta hasutan dan hukuman gantung sampai mati ingin dihapuskan dan pelbagai isu lagi.
Sebelum ini Amir Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Abdullah Zaik Abd Rahman dilaporkan menyaran kerajaan supaya membentuk kerajaan baru dengan membubarkan Parlimen.
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan PH didominasi DAP serta bukan Islam dan membawa Malaysia ke arah sebuah negara rasis.
Lebih buruk lagi katanya apabila Mahathir dilihat hampir hilang kawalan sepenuhnya ke atas pemerintahan dan anggota kabinet.
Saranan itu disokong Anggota Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam. Antara lain, katanya, dalam lapan bulan pentadbiran PH banyak perkara orang Islam dalam PH terpaksa tunduk kepada DAP.

Pada 22 Oktober tahun lalu, pemimpin Umno Hasan Arifin pernah mencadangkan parlimen dibubarkan apabila sebagai menunaikan janji Mahathir untuk meletak jawatan sebagai sebagai perdana penteri dalam tempoh dua tahun.

Nada sama juga turut disuarakan bekas naib presiden Bersatu Hamidah Osman.

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Nasrul berkata, idea pembubaran parlimen itu dibangkitkan demi memajukan kestabilan kerajaan serta serta perpaduan rakyat yang kukuh.
"Oleh itu, Perkasa menyokong agar parlimen hari ini dibubarkan sekiranya kerajaan yang dibentuk tidak mampu menyelesaikan hal utama bagi menjaga hal kebajikan rakyat sebelum ia melarat dan berlarutan.
"Beri kembali kuasa kepada rakyat untuk membuat keputusan semula dan seterusnya memberi mandat kepada yang selayaknya menerajui kepimpinan negara bagi mencapai dan membina semula kestabilan politik," katanya. - MK


Appear first on Sudut Malaysia

Artikel Terkait