KUALA LUMPUR 26 Jan. - Foto sekumpulan lelaki memakai baju Pakatan Harapan yang didakwa sedang mengagihkan hamper kepada pengundi Orang Asli di sekitar Kampung Terisu di Camaron Highlands lewat malam tadi tular di media sosial.
Gambar berkenaan turut dikongsi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki di laman Facebook.
Menurutnya, foto tersebut dirakam skuad Pergerakan Pemuda UMNO yang ditempatkan di seluruh kampung-kampung orang Asli kerana menjangkakan akan berlaku gejala sedemikian.
"Nampaknya malam terakhir jentera Pakatan Harapan diambil gambar sedang mengagihkan hamper kepada pengundi Orang Asli di sekitar Kg Terisu.
"Gambar telah berjaya dirakamkan oleh skuad Pergerakan Pemuda UMNO yang ditempatkan di seluruh kampung-kampung orang Asli kerana kami sudah menjangkakan akan berlaku gejala rasuah politik seperti ini di saat-saat akhir menjelang hari pembuangan undi esok," tulis Dr. Asyraf Wajdi.
Malam tadi adalah waktu terakhir kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron HIghlands yang berlangsung hari ini.
Pada 7 Januari lalu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), ENGAGE dan Tindak Malaysia akan memantau Pilihan Raya Kecil(PRK) P.078 Cameron Highland memberi amaran kepada semua calon dan parti politik yang akan bertanding pada PRK untuk tidak membuat kesalahan pilihan raya semasa kempen daripada 12 hingga 25 Januari.
Sebagai tanda iltizam mereka untuk mengangkat integriti PRK dalam era Malaysia Baharu mereka menjemput semua calon secara terbuka menandatangani aku janji bagi memastikan pilihan raya yang bersih dan adil semasa kempen pilihan raya mereka.
Aku janji tersebut antara lain memastikan calon-calon menjalankan kempen mereka dengan etika yang bersih dan adil, bebas rasuah seperti pemberian wang atau hadiah, bebas pengaruh tidak wajar seperi makan malam percuma, konsert percuma, salah guna jentera dan sumber kerajaan, serta manipulasi sentimen perkauman dan keagamaan bagi mencetuskan kebencian dan keganasan.-UTUSAN ONLINE
Appear first on Sudut Malaysia