Rabu, 02 Januari 2019

"TUDUH ORANG KOTOR KETIKA SENDIRI MAIN LUMPUR"

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
2 Januari 2019 | 25 Rabiulakhir 1440

"TUDUH ORANG KOTOR KETIKA SENDIRI MAIN LUMPUR"

1.    Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu bersikap melalut dan semberono mencipta fitnah disebalik dakwaan fitnah yang dituduhkannya kepada PAS. Sebagai ahli politik berpengalaman yang pernah melalui sendiri segala 'sepak terajang' dunia politik, beliau tidak sepatutnya menafikan realiti.

2.    Lebih-lebih lagi Tan Sri pernah berada di jawatan tertinggi negara dan kini mengetuai parti yang memimpin kerajaan, seharusnya lebih berhemah dan matang. Sewajarnya dakwaan Tan Sri dikemukakan bersama bukti, bahkan jika berkaitan dihadapkan sama ke tindakan undang-undang sewajarnya.

3.    Menuduh PAS menabur fitnah perkauman dan agama semata-mata untuk memburukkan Kerajaan PH tidak lebih menggambarkan semarak angkuh dan sombong dalam diri Tan Sri. Atau sebenarnya kata-kata itu diungkapkan sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu untuk menutup kelemahan Tan Sri sendiri?

4.    Selama ini walaupun isu perkauman dan agama sering dibangkitkan pihak-pihak ekstrem atau berkepentingan, tetapi tidak hingga mengundang kejadian buruk yang besar. Tetapi sejak pemerintahan PH, terlalu banyak unsur perkauman menjadi tegang dan paling malang agama dipermain dan dihina.

5.    Malah, Islam yang menjadi agama negara ini termasuk umat dan institusinya diancam gugat hingga Majlis Raja-raja Melayu juga tidak senang. Paling tragik apabila ada yang terkorban nyawa dan melatanya keresahan dalam kalangan rakyat kebanyakan. Semua unsur itu menjolok datang dari dalam PH.

6.    Rakyat seluruh negara menjadi saksinya. Tetapi di mana tindakan Tan Sri selaku Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab dalam hal-hal tersebut? Bahkan tempelakan Tan Sri kepada PAS itu bukan sahaja berbaur permusuhan, malah juga membela sekutu sendiri yang berkelakuan pemusnah dan melampau.

7.    Kini sama-sama saling melindungi dan menjaga kepentingan tanpa tindakan sewajarnya. Sebaliknya, pihak penguatkuasa dan pelaksana terlibat dari pegawai kerajaan dan anggota perkhidmatan awam pula dikambing hitamkan dengan tuduhan dan perlekehan. Di mana kredibiliti dan maruah mereka dan Tan Sri sendiri?

8.    Kami tegaskan bahawa PAS tidak sama sekali membela dan bersekongkol dengan sebarang perkara pelanggaran undang-undang, jenayah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Sebaliknya PAS menggesa agar ia dibawa ke tindakan penguatkuasaan, siasatan dan kehakiman serta hukuman yang adil selaras prinsip perundangan.

9.    PAS berpegang kepada prinsip bahawa mana-mana pihak belum bersalah hingga dibuktikan bersalah. Hingga hari ini, PAS masih dengan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang digagaskan. PAS terbuka bekerjasama dengan sesiapa sahaja selagi ianya untuk kepentingan rakyat, negara dan agama. 

10.  Jikapun Tan Sri telah membakul sampahkan atau membutakan semua fakta ini, setidak-tidaknya kami mengajak untuk bermuhasabah dan melihat secara jujur. Akuilah bahawa di dalam Bersatu dan PH, bahkan mereka yang sedia melompat ke PH, adalah individu-individu sedang terpalit dengan pelbagai skandal.

"Islam Memimpin"
"Terus Mara"

IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia

http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/15-tanah-air/9277-tuduh-orang-kotor-ketika-sendiri-main-lumpur


Appear first on Sudut Malaysia

Artikel Terkait