Senin, 07 Januari 2019

[video] Bekas calon Pemuda PKR maut ditetak

SHAH ALAM: Seorang bekas calon Pemuda PKR maut ditetak sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di tingkat bawah Flat PKNS, Jalan Plumbum, Seksyen 7, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa M Thiyaru, 30, diserang 3 lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja sebelum mangsa dibawa oleh orang ramai ke Hospital Shah Alam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian muka, belakang kepala, tangan kanan dan kedua-dua kaki dan meninggal dunia kira-kira jam 6.30 petang ketika sedang menerima rawatan.
“Motif serangan masih dalam siasatan dan kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan supaya membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau hubungi terus pegawai penyiasat, ASP Vignesh Kumar, di talian 03-55202222.
Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 21 saat tular di media sosial yang menunjukkan seorang lelaki sedang terbaring dalam keadaan berlumuran darah dipercayai ditetak.
Dalam video itu turut kelihatan 4 lelaki dan seorang wanita cuba membantu mangsa. - FMT   #CelahGelegar


Appear first on Sudut Malaysia

Artikel Terkait