Sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila Timbalan Speaker Datuk Seri Ronald Kiandee mengarah bentara Parlimen mengiringi Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai keluar dewan setelah ingkar dengan arahannya supaya duduk.
Kekecohan bermula sewaktu Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Loga Bala Mohan Jaganathan sedang berucap, Tan ingin bangun mencelah walaupun belum lagi diberi laluan.
Ini membuatkan Loga membuat dakwaan bahawa terdapat beberapa operator pusat-pusat perjudian sekitar Cheras menggunakan nama Tan untuk menjalankan operasi perniagaan itu.
Kenyataan Loga itu menimbulkan rasa tidak puas hati Tan yang mengarahkan supaya timbalan menteri itu menarik balik kata-kata dakwaannya.
Ketika itu, beberapa ahli parlimen BN dan pembangkang masing-masing mencelah dan menghangatkan lagi suasana dalam dewan.
Bagaimanapun, Ronald membuat keputusan mengarahkan Tan keluar dewan setelah melanggar peraturan dewan.
Terdahulu, berlaku pertelagahan di antara Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai dan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung kenyataan wakil rakyat DAP itu menggelar Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai 'korup'.
Kenyataan 'korup' itu mengundang kritikan daripada beberapa ahli Parlimen BN bahawa ucapan Tan tersasar daripada perbahasan Bajet 2018.
Pandikar kemudian menegur Tan dan menggesa agar wakil rakyat DAP itu menarik balik perkataan yang bersifat menyentuh seseorang ahli Parlimen lain.
Bagaimanapun, Tan tetap dengan pendiriannya sambil mendakwa gelaran 'korup' itu dilontar berkait dengan persepsi orang ramai terhadap menteri itu.
Setelah ditegur berkali-kali oleh Pandikar, akhirnya Tan menarik balik perkataan 'korup' dan menukar kepada 'tidak ada integriti'. - MK
Appear first on Sudut Malaysia