ANTARAPOS
NIBONG TEBAL: Ekoran DAP masih dibelenggu sikap dominasi keluarga, bekas ADUN Jawi, Tan Beng Huat, bersama 100 ahli dan penyokong DAP kawasan Nibong Tebal mengumumkan keluar parti itu dan menyertai Parti Alternatif Rakyat (PAP).
Keputusan itu dibuat Beng Huat hari ini selepas merasakan DAP bukan lagi 'bumbung yang selamat' baginya dan ahli DAP yang lain untuk berteduh sekiranya elemen 'dinasti keluarga' masih dipertahankan.
Beng Huat, berkata sejak menjadi ahli DAP lebih 10 tahun dan menjadi ADUN Jawi apabila menang dengan majoriti hampir 4,000 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) lalu, prinsip serta ideologi sosialis demokrat yang diamalkan parti berkenaan sudah berubah.
Beliau berkata, keadaan berubah selepas DAP menerajui kerajaan negeri selama dua penggal, ideologi yang diperjuangkan selama ini bukan lagi satu keutamaan selain jasa ahli veteran parti itu dilupakan.
"DAP kini lebih menjerumus kepada satu parti yang dikuasai 'dinasti keluarga' dan sikap ego, bongkak dan sombong mula meresap ke dalam pentadbiran DAP.
"Sampai hari ini, selepas hampir satu dekad DAP memerintah tahap keegoaan dan sombong mereka semakin kronik bila rakan kongsi mereka daripada PKR yang menyumbang 10 kerusi DUN turut diperlekehkan dalam beberapa isu membabitkan soal pentadbiran kerajaan negeri," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Dalam majlis itu, Beng Huat turut dilantik sebagai Ketua Perhubungan PAP Pulau Pinang.
Appear first on Sudut Malaysia