Oleh Athirah Hanapiah, Shuhaniza Said & Wan Anis Ilyani Wan Mohd Azhar
KUALA LUMPUR: Umno Kelantan hari ini bertekad dan yakin untuk merampas negeri itu daripada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Ketua Umno Bahagian Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menyuarakan kesungguhannya itu ketika membahaskan ucapan dasar presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pagi tadi.
Katanya, indikator itu berdasarkan peningkatan sebanyak 33% bagi jumlah kerusi parlimen dan 100% pada jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Barisan Nasional (BN) dari PRU12 ke PRU13.
Ujar beliau, ini sekaligus membuktikan bahawa negeri itu mampu untuk ditakluki BN pada PRU kali ini.
"Selepas daripada tahun 2008 (PRU12), negeri Kelantan mempunyai dua kerusi parlimen dan enam kerusi DUN, tetapi hasil daripada sikap yang telah ditunjukkan oleh presiden membalas kepercayaan dan budi baiknya.
"Maka hasilnya pada PRU13, negeri Kelantan telah menyumbang kepada kenaikan 9 kerusi Dewan Rakyat daripada Umno dengan menambah tiga kerusi menjadikan kenaikan 33%, di DUN daripada enam, menjadi 12 kerusi, kenaikan 100%.
"Dan kalau inilah sikap positif yang telah ditunjukkan oleh rakyat dan pengundi di negeri Kelantan, kita yakin dan percaya terlalu tidak mustahil pada PRU14, Kelantan akan jadi milik BN." katanya.
Untuk rekod, PAS telah mentadbir Kelantan sejak 27 tahun yang lalu dan masih belum berjaya dirampas BN sehingga kini.
Tambahnya, Umno di negeri yang diterajui PAS itu pada ketika ini tidak akan berhenti daripada berjuang untuk menjadikan Kelantan milik BN.
Katanya, Umno Kelantan akan terus bersama-sama memberikan keyakinan dan sokongan padu terhadap Umno-BN khususnya kepada presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak walau apa jua yang berlaku.
"Umno Kelantan berikrar bahawa perjuangan kami tidak akan menemui titik nokhtah. Biar berputih tulang, tidak sekali kami berputih mata. Patah sayap paruh kami tongkatkan, namun perjuangan hidup mati kami kali ini adalah untuk mengembalikan maruah Umno dan BN di Kelantan," ujarnya dengan disambut sorakan di segenap dewan.
Appear first on Sudut Malaysia