Penglibatan kumpulan artis dalam hal membicarakan hal yang berkaitan dengan negara kini tidak harus dipandang ringan oleh masyarakat Malaysia khususnya ahli UMNO yang sedang mengadakan persidangan kini. Dikatakan demikian kerana tidak pernah berlaku lagi dalam sejarah Malaysia sebelum ini dimana para artis mula melahirkan pandagan mereka tentang perjalanan pentadbiran negara ini, dalam bentuk yang agak kritikal.
Apa yang disuarakan oleh Dato Sheila Majid dan artis Fathia Latiff itu adalah benar belaka pada pandangan masyarakat di Malaysia kini. Tidak ada yang tak betulnya. Harga barang naik melambung yang menyebabkan rakyat Malaysia amat terasa tekanannya. Pengangguran semakin meningkat yang menyebabkan para graduan yang menganggur semakin hari semakin ramai walaupun pihak kerajaan sentiasa menafikan tentang keadaan itu.
Timbulnya kesedaran yang mendadak dikalangan para artis ini merupakan sesuatu yang diluar dugaan. Sebagaimana yang dikatakan sebelum ini, ini merupakan ‘ledakan’ yang julung kali disuarakan oleh artis. Sebelum ini, yang sentiasa menyuarakan tentang keadaan sebegini adalah kesatuan sekerja ataupun persatuan pengguna atau pun kumpulan NGO yang sedar dan perihati tentang penderitaan rakyat ataupun para penulis dan sastrawan yang merupakan mata dan telinga rakyat. Malangnya peranan golongan ini sudah tidak begitu ketara kini. Mungkin ada tetapi tidak mendatangkan banyak kesan.
Seingat aku akhbar biasanya memainkan peranan penting dalam hal menyuarakan isi hati rakyat mengenai sesuatu perkara. Rencana-rencana yang disiarkan akhbar ( zaman dulu-dulu) dapat menyedarkan rakyat dan kerajaan tentang sesuatu isu. Namun pada hari ini kelihatan peranan akhbar semacam telah berubah ia itu lebih merupakan lidah rasmi kerajaan yang memerintah dan langsung tidak menyiarkan berita-berita yang mengkeritik dasar-dasar kerajaan.
Kini era baru telah muncul. Jikalau selama ini ada pihak-pihak tertentu yang memandang rendah kepada golongan artis maka dengan kemunculan Dato Sheila Majid dan Fathiya Latif seolah-olah telah membawa cahaya baru kepada perkembangan sosial di Malaysia. Mereka telah berani berterus terang menjelaskan tentang keadaan yang berlaku di Malaysia kini. Dan teguran mereka pastinya mendapat response yang bukan kecil dari masyarakat terutamanya dari kalangan anak muda.
Ada pemimpin UMNO yang telah mengkritik dan membidas apa yang disuarakan oleh mereka. Ada yang mencadangkan agar mereka terlibat dalam politik dan terlibat secara langsung sebagaimana yang mereka alami. Harus disedarkan juga pemimpin sedemikian bahawa apa yang disuarakan oleh artis berkenaan adalah sesuatu yang benar dan seharusnya diterima dengan hati terbuka. Mereka tidak ada kepentingan langsung selain daripada memberitahu pihak berwajib agar segera buat perubahan. Apa yang disuarakan oleh mereka adalah merupakan suara rakyat terbanyak. Tanyalah rakyat terbanyak pasti ramai yang menyokong apa yang telah disuarakan itu.
Amat tidak kena sikap yang ditunjukkan oleh sebahgian pemimpin UMNO yang seolah-olah ‘menghina’ artis berkenaan. Peribahasa orang putih ada mengatakan, ‘ don’t kill a messenger’ yang bermaksud bahawa tidak seharusnya kita ‘membunuh’ penyampai berita sahih demi untuk kepentingan kita semua. Dan sepatutnya juga para pemimpin dan perwakilan UMNO menggunakan forum ini untuk membincangkan apa yang telah disuarakan oleh kedua-dua artis ini. Para perwakilan seharusnya melihat isu ini secara positif. Harus membincangkan dan meneliti apakah tindakan-tindakan yang perlu dilaksanakan bagi mengatasi masalah demikian.
Ada juga setengah pemimpin UMNO yang mengarahkan para artis supaya tutup mulut dan menganggap para artis tidak tahu menahu tentang keadaan negara kini. Tentulah amat tidak wajar para pemimpin mengeluarkan kata-kata sedemikian seolah-olah hanya para pemimpin UMNO yang serba tahu tentang keadaan negara kini dan mengamalkan sikap, ‘jangan ditegur dan jangan dilarang’ dan seolah-olah membiarkan sahaja golongan mereka ‘bersultan di mata dan beraja di hati’.
“Suara’ artis jangan dipandang ringan kini. Bukan semacam artis tahun-tahun 40an dan 50an yang tidak berpendidikan tinggi. Malah mereka menjadi artis setelah mendapat didikan yang sempurna daripada pusat pengajian tinggi awam dan swasta. Mereka adalah terdiri golongan cerdi pandai yang tahu menilai dan melihat suasana negara kini yang dianggap oleh mereka sudah tidak ketentuan dengan kenaikan harga barang dan penggangguran yang semacam sudah tidak terkawal. Lantas mereka memberikan pandangan mereka yang bernas melalui pemerhatian yang tidak berbelah bagi.
Apabila ada para pemimpin UMNO yang memperkecil-kecilkan kemampuan para artis kita, maka cermin seharusnya dihalakan ke muka mereka dan bukannya ke wajah artis. Mereka yang sepatutnya mencermin muka mereka sebelum mengeluarkan kenyataan tentang artis.
Geggaran yang melanda negara kini hasil ledakan kenyataan para artis tidak seharusnya dipandang ringan. Keadaan sebegini boleh dianggap sebagai satu ‘watershed’ dimana tidak pernah berlaku keadaan artis yang bertindak sedemikian, menyuarakan pandangan mereka terhadap keadaan negara yang tercinta. Jangan dianggap enteng apa yang disuarakan oleh mereka. Letupan yang kecil mungkin merupakan satu ledakan yang besar, yang boleh merobah keadaan dalam negara kini dan berkemungkinan menjadi seperti ledakan bom atom yang menggegarkan Hiroshima dan Nagasaki pada suatu ketika dahulu.
Appear first on Sudut Malaysia