Oleh HASMI HASHIM
Begitu juga dengan penyanyi seperti Sheila Majid mahupun pelakon seperti Fathia Latiff. Tweet ringkas mereka masing-masing dengan pantas menjadi tular. Lebih-lebih lagi apabila mereka dilihat menyuarakan sesuatu yang lebih daripada kisah cinta sepertimana yang selalu disampaikan dalam lagu-lagu, drama atau filem.
Tampaknya dalam beberapa hari ini, tiada sesiapa yang menafikan hak seniman untuk bersuara sama ada di kalangan mereka yang propemerintah, propembangkang mahupun yang independen.
Nampaknya sudah wujud satu kematangan politik yang luar biasa selain isu yang diketengahkan menyentuh langsung soal realiti kehidupan rakyat.
Apa yang tidak kelihatan oleh ramai orang, lebih-lebih politikus atau mereka yang sudah taksub dengan politik kepartian ialah kenyataan yang ruang kebebasan bersuara yang wujud di Malaysia hari ini adalah jauh lebih baik. Sekurang-kurangnya kalau dibandingkan di kala Dr Mahathir Muhamad berkuasa 22 tahun dahulu.
Kebetulan juga hampir setiap orang hari ini mempunyai telefon pintar dan media sosial masing-masing. Bukan sahaja Sheila dan Fathia, tetapi artis lain seperti Aznil Haji Nawawi dan Adibah Noor juga saling mengeluarkan pandangan masing-masing.
Namun dalam keadaan dunia berada di hujung hari sekali pun, di luar sana ada lagi kerajaan di dunia yang mengharamkan atau cuba menyekat kebebasan ini. Bahkan ada pula yang masih terus menangkap mereka yang bersuara bertentangan dengan selera sesuatu kerajaan itu.
Mungkin ramai yang berfikir bahawa rejim tertutup dan kuku besi seperti China dan Korea Utara sahaja yang bersifat sebegitu terhadap rakyatnya. Tetapi jangan dilupakan di negara Islam yang pernah dianggap paling demokratik pun seperti Turki juga sekarang menjadi sangat tertutup.
Kita boleh saksikan iaitu ketika bantahan terhadap Presiden Tayyib Erdogan (bawah) memuncak lebih kurang dua tahun lalu, tidak kurang jumlah yang diberkas dan dihadapkan ke muka pengadilan. Mereka yang tertangkap dan terdakwa bukan hanya terdiri daripada golongan politikus penentang, tetapi juga golongan penulis, pelawak, pelakon, penyanyi sehinggalah model.
Kita boleh membaca berita pada Julai tahun lalu, tentera bawah cengkaman Erdogan telah menangkap lebih 6,000 penentangnya. Namun Erdogan berjaya menggunakan strategi yang hampir sama sepertimana yang pernah digunakan di era Dr Mahathir menjadi perdana menteri dahulu demi terus mengekalkan kuasanya.
Antara lain Erdogan mengambil sikap begitu lantang melaungkan retorik nasionalisme dengan membayangkan dirinya sebagai seorang nasionalis. Erdogan tanpa berselindung akan menghentam mana-mana pihak luar seperti negara-negara Eropah mahupun Amerika Syarikat. Dengan cara itu, maka rakyat akan melihat dia mewakili kepentingan negara walaupun dalam waktu sama sangat mengongkong rakyat sendiri.
Kalau jadi di era Dr M
Bagi menampilkan pula dirinya sebagai seorang pejuang Islam, Erdogan juga menunjukkan kepada majoriti Muslim di Turki bahawa dia adalah wira umat Islam. Dia akan bersuara di dalam setiap isu yang menyentuh sentimen umat Islam daripada nasib masyarakat Rohingya sehinggalah kepada isu ibu kota Israel yang kelmarin akan berpindah dari Tel Aviv ke Jerusalem.
Begitulah imej berdepan dengan musuh luar menjadikan rakyat Turki terpukau atau dapat dilalikan dengan kezaliman dalam negara yang dilakukan Erdogan.
Dalam waktu sama satu dunia tahu, sejak dia melepaskan jawatan sebagai perdana menteri, Erdogan terlebih dahulu membina istana yang sangat besar untuk dirinya sebagai presiden. Beberapa tahun lalu, Erdogan juga tercalit dengan tuduhan korupsi yang melibatkan anaknya.
Hari ini kebebasan bersuara di Turki menjadi sangat buruk. Saya hanya boleh membayangkan sekiranya tweet panas para seniman beberapa hari kebelakangan ini berlaku di Turki, maka sudah tentu orang seperti Shiela mahupun Fathia akan segera diberkas oleh aparat rejim.
Kita juga tidak bisa membayangkan bagaimanakah nasib para seniman itu kalau Dr Mahathir masih menjadi PM, mungkin mereka juga secara senyap-senyap akan digam media arus perdana. Peluang untuk mendapat tawaran menyanyi dan berlakon pasti terpadam sama sekali.
Dalam kata lain, kebebasan bersuara yang sedikit wujud hari ini sehingga dapat dinikmati oleh sesiapa pun bukanlah sesuatu yang datang bergolek dan percuma. Ruang demokrasi ini wujud hasil daripada apa yang diperjuangkan oleh ramai para pejuang sejak hampir dua dekad lalu, iaitu sejak era Reformasi 1998.
Di ketika itu, mungkin ramai seniman tidak mempedulikan pun ribuan orang yang dipukul mahupun diberkas. Ramai pula kehilangan punca pendapatan, pekerjaan dan ada yang sampai bercerai-berai demi perjuangan demokrasi yang sangat getir itu.
Di ketika yang paling perit itu pun, susah sekali dapat didengar suara simpati seniman atau sasterawan negara yang mahu bercakap bagi pihak rakyat yang teraniaya. Lebih memeritkan, perjuangan sedemikian konon hanya dikaitkan untuk mengangkat dan membebaskan satu-dua tokoh yang tak dapat menjadi perdana menteri.
Sedikit kebebasan bersuara yang ada inilah yang wajar dipertahan dan dikembangkan lagi—yang sama pentingnya dengan perjuangan untuk memulihkan ekonomi rakyat. Sehebat dan setanding apa pun ekonomi negara ini dapat dipacu kembali, tetapi tanpa kebebasan dan demokrasi maka pertumbuhan itu akan terencat juga satu saat nanti.
Seniman tak mudah diperbodoh
Dalam pengalaman beberapa kali pilihan raya, saya juga yakin bahawa tidak mudah pula golongan seniman boleh diperbodoh dan ditunggangi oleh mana-mana parti politik. Seniman tidaklah dungu dan mereka akan terhormat sekiranya dapat kekal bersuara bagi pihak rakyat terbanyak.
Atas kesedaran ini jualah, kalau saya seorang yang berkuasa dalam kerajaan, saya tidak akan memusuhi Sheila, Fathia, Adibah, Aznil atau sesiapa sahaja yang ingin mengeluarkan pandangan.
Mereka juga mungkin boleh diundang untuk berdebat dan berhujah di RTM mahupun dalam bual bicara di satu sudut perhimpunan agung Umno itu sendiri.
Ya, Tak ada apa yang hendak digusarkan. Politik yang matang ialah kala mana sesiapa pun mampu membawakan hujah-hujah yang bernas tanpa kata-kata mengejek daripada seniman yang dalam masa sama berada pula di dalam pasukan Puteri Umno, misalnya. Masing-masing punya hak berhujah—bukan hak memfitnah.
Sesungguhnya era memancung hujah dengan cara menakut-nakutkan atau menangkap pihak yang bertentangan fikrah adalah kelakuan di era rejim lama. Sepatutnya semua itu sudah pun berlalu.
HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.
Appear first on Sudut Malaysia