Kamis, 18 Januari 2018

UMP Memperkenalkan Teknologi 'Blockchain', Elak Siswazah Palsu !


KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) menggunakan teknologi blockchain bagi kemudahan bakal majikan untuk mengesan siswazah palsu yang menggunakan sijil atau ijazah dianugerahkan universiti itu menerusi aplikasi UMP Valid8.

Selain UMP Valid8 yang akan digunakan sepenuhnya dalam majlis konvokesyen universiti itu pada tahun ini, teknologi tersebut turut membangunkan satu sistem transaksi untuk kemudahan mahasiswa, pegawai, kakitangan dan alumni UMP yang dinamakan sebagai Mobile Wallet UMP Xchain.

Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Seri Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, kedua-dua aplikasi itu yang pertama di negara ini menggunakan kod respon pantas (QR) iaitu data tidak hanya disimpan di satu lokasi sebaliknya disimpan secara encrypted di pelbagai tempat.

“Bagi UMP Valid8, setiap ijazah dilengkapi kod QR yang unik bagi memastikan kesahihan maklumat pada sijil siswazah. Dengan mengimbas kod tersebut, kita dapat melihat maklumat seperti paparan gambar, nama, program pengajian dan tahun tamat pe­ngajian.

“Bagi aplikasi UMP Xchain pula, pengguna iaitu mahasiswa dan kakitangan universiti ini boleh membuat pembayaran di kafeteria, kedai-kedai dan Unit Bendahari menggunakan telefon pintar bagi proses transaksi pembayaran,” kata.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi UMP Valid8 dan Dompet Mudah Alih XChain di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Pusat Kecemerlangan UMP, Dr. Mohamed Ariff Ameedeen dan Dekan Fakulti Pengurusan Industri (FIM) universiti berkenaan, Profesor Madya Dr. Mohd. Ridzuan Darun.

Menurut Daing Nasir, menerusi kepakaran berkenaan, UMP turut menawarkan khidmat Blockchain Certificate Authentication kepada mana-mana institusi atau agensi yang berminat untuk bekerjasama.

“Kami percaya satu hari nanti tidak mustahil teknologi ini akan menguasai masa depan memandangkan pengurusan data lebih teratur, menyokong inisiatif hijau dengan mengurangkan penggunaan kertas, masa, ruang serta lebih utama adalah akauntabiliti,” katanya. #sumber



Appear first on Sudut Malaysia

Artikel Terkait