Minggu, 16 September 2018

Buku Teks Sejarah SMPC tanam Kecinaan semata2, Abai Sejarah Melayu, Islam di Tanah Melayu

NILAI, 6 Muharram 1440H, Ahad – Kandungan buku teks Sejarah acuan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) sangat lemah dan tidak menjaga sensitiviti kepelbagaian kaum di Malaysia, khususnya orang Melayu dan agama Islam.
Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Datuk Abdul Raof Hussin berkata, buku teks Sejarah SMPC itu, dilihat sengaja mengikut serta menanamkan nilai-nilai pemikiran ‘kecinaan’ Pertubuhan Cina Dong Zong sehingga tidak menepati Dasar Falsafah Pendidikan Negara secara keseluruhannya.
Bahkan, ia juga tidak menyentuh kegemilangan kerajaan Melayu Melaka dalam sistem pentadbiran dan perdagangan, tetapi lebih menonjolkan kewujudan hubungan dan pengaruh Dinasti Ming dan hubungan dengan Melaka.
“Buku teks Menengah Atas pula, hanya menyebut sedikit sahaja topik mengenai pembelajaran sejarah Malaysia. Tajuknya Sejarah Malaysia dan Negara-negara jiran (Asia Tenggara).
Manakala untuk sejarah negara China, terdapat satu buku khusus yang menerangkan secara terperinci berkaitan sejarah negara China.
Secara tidak langsung, boleh dikatakan bahawa SMPC mendidik semua pelajarnya melalui Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), berkiblatkan sejarah dan nilai-nilai negara China dan bukan nilai-nilai Malaysia,” katanya dalam kertas kerja yang dibentangkan pada Seminar Pendidikan Ummah Nasional (SPUN) 2018 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), hari ini.
Bukan itu sahaja, beliau berkata, di dalam buku teks Junior Jilid 2 pula, ia menyentuh sejarah dan ideologi San-Min, iaitu asas membina negara China yang berkiblatkan blok komunis.
Selain itu, bahan pendidikan SMPC ini mengandungi banyak fakta yang salah, tidak tepat dan menggunakan bahasa Melayu yang tidak baik dan betul untuk buku teks.
“Malah lebih memudaratkan lagi, sesetengah grafik yang digunakan itu bukan sahaja salah, tetapi langsung tidak peka kepada sensitiviti terhadap bangsa Melayu dan agama Islam yang dominan di negara ini.
“Contohnya, upacara menunaikan ibadah haji ke Mekah, digambarkan orang Melayu dengan berpakaian baju Melayu seperti ke masjid atau menyambut perayaan hari raya.
“Solat pula digambarkan tidak tepat atau salah apabila menyatakan bilangan waktu solat dalam sehari sebanyak enam waktu, dengan mengambil kira Solat Jumaat sama seperti solat waktu setiap hari,” katanya.
Selain itu, dalam buku teks berkenaan juga, kurang menonjolkan konsep pelbagai kaum di Malaysia tetapi yang ditonjolkan hanya satu watak sahaja iaitu kaum Cina yang lebih didominasikan.
Ia seolah-olah peranan orang Melayu dan bahasa Melayu serta Malaysia sebagai teras tamadun negara jni cuba diperkecilkan oleh pendidikan SMPC.
Justeru, Abdul Raof menegaskan, pihaknya menggesa kerajaan menolak dengan muktamad tuntutan-tuntutan untuk mengiktirafkan UEC.
Ini kerana katanya, ianya akan memberi kesan yang amat buruk terhadap perpaduan negara dan mencabul kepentingan dan kedaulatan negara.


Appear first on Sudut Malaysia

Artikel Terkait