Minggu, 21 Oktober 2018

Kalau saya Presiden, saya bawa MCA keluar BN

KUALA LUMPUR: Tan Sri Dr Chua Soi Lek mendakwa beliau akan membawa MCA keluar Barisan Nasional (BN) jika masih mengemudi parti itu selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Bekas Presiden MCA itu turut mempersoal kepemimpinan parti yang tidak mampu membuat keputusan semudah itu selepas parti hilang sokongan dan kepercayaan rakyat.
Beliau berkata, kegagalan pemimpin tertinggi MCA membuat keputusan itu menyebabkan parti itu menjadi bahan lawak selepas PRU-14.
“Kalau saya Presiden MCA pada masa itu dan ditanya apakah yang akan lakukan, perkara pertama saya akan lakukan ialah bawa MCA keluar BN.
“Kemudian ada pemimpin tertinggi MCA kata kalau parti tidak keluar BN, ia akan memecat UMNO daripada BN. Parti menjadi bahan lawak terbesar pada tahun 2018,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan buku memoirnya ‘Like Me Or Hate Me, Rising From The Political Ashes: The Memoirs Of Chua Soi Lek’ di sini, hari ini.
Justeru, Soi Lek menyeru ahli dan perwakilan MCA supaya menukar barisan pucuk kepemimpinan parti dalam pemilihan parti itu bulan depan.
Katanya, perwakilan perlu memilih pemimpin yang mempunyai harapan dan inspirasi, bukan terperangkap dalam sindrom penafian serta mampu membawa hala tuju baharu parti untuk kepentingan ahli dan rakyat.
“Saya harap dalam pemilihan parti bulan depan, anda akan ubah kepemimpinan, pilih pemimpin yang ada harapan, inspirasi dan mempunyai hala tuju jelas untuk parti.
“Pilih pemimpin yang berani, cakap perkara yang betul dan buat apa yang betul,” katanya - BH


Appear first on Sudut Malaysia

Artikel Terkait