SEREMBAN: Masyarakat luar terutama netizen diminta hentikan kecaman berhubung isu kematian beberapa ekor anjing terbiar di Taman Lavender Height di sini, jika tidak mengetahui perkara sebenar.
Sebaliknya penduduk di taman perumahan itu mendakwa perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah kehadiran anjing terbiar di kawasan mereka tidak diambil peduli walaupun sudah membuat berpuluh aduan kepada pihak berkuasa sepanjang tahun lalu.
Dalam sesi dialog membabitkan 200 penduduk bersama polis, Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri dan kelab pencinta haiwan yang diadakan malam tadi, penduduk meluahkan kekecewaan mereka apabila ada pihak yang menjadi jaguh memperbesarkan isu itu tanpa mengetahui perkara sebenar.
Seorang penduduk yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Abd Rahim Mohd Radzi, berkata kecaman dan ugutan terhadap Pengerusi Masjid Ibu Khaldun di taman itu, Mohd Asna Amin juga perlu dihentikan.
Abdul Rahim yang menetap lebih 10 tahun di situ berkata, bukan Mohd Asna Amin meracun anjing terbiar seperti yang ditularkan di media sosial.
"Isu ini menjadi panas di seluruh negara angkara pihak ketiga yang memperbesarkan kes, sedangkan masalah utama berkaitan banyaknya anjing terbiar di taman kami yang tidak diambil tahu biarpun berpuluh aduan dibuat sepanjang tahun lalu," katanya.
Sesi dialog yang diadakan di kabin Persatuan Warga Lavender Height itu berlangsung selama tiga setengah jam bermula jam 9.30 malam tadi.
Menurutnya, anjing terbiar sering memasuki masjid dengan meminum air kolah di tempat berwuduk, membuang najis dan mengejar kanak-kanak hingga ada yang cedera akibat terjatuh.
"Sejak tahun lalu, kira-kira 50 anjing terbiar ini sering membunuh kucing dan haiwan peliharaan penduduk. Jika ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kononnya memperjuangkan nasib anjing terbiar, esok kami juga akan menubuhkan NGO bagi membela nasib kucing yang dibunuh anjing itu," katanya yang menerima sahutan sokongan penduduk.
Pada pertemuan yang dihadiri Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh; Pengarah Veterinar negeri, Dr Nik Hamidah Nik Husin dan Pengerusi Persatuan Penduduk, Datuk Abd Aziz Ibrahim, penduduk memberitahu mereka hilang sabar dengan masalah anjing terbiar hingga ada yang mengambil tindakan sendiri meracun haiwan itu.
Seorang ahli jawatan kuasa masjid, dikenali Hashim berkata, lebih tiga kali dia membersihkan rumah ibadat itu yang sering dimasuki anjing terbiar.
Katanya, keadaan menjadi lebih teruk apabila haiwan itu turut meninggalkan najis di dalam kawasan masjid termasuk di tempat mengambil wuduk.
Seorang lagi penduduk dikenali Ibrahim mempertikaikan, jika pemilik haiwan itu boleh membuat laporan polis dan mendakwa anjingnya diracun, bagaimana pula tindakan ke atasnya yang tidak mengawasi haiwan peliharaannya hingga membahayakan penduduk taman terbabit.
Menjawab pertanyaan itu, wakil MPS memaklumkan pemilik yang membiarkan anjing berkeliaran boleh dikompaun RM250 seekor mengikut Undang-Undang Kecil pihak berkuasa tempatan (PBT).
Dalam pada itu katanya, MPS tidak lepas tangan dalam menangani masalah anjing terbiar sebaliknya sebanyak 8,000 anjing terbiar ditangkap pada 2016 dan 4,000 pada 2017.
"Operasi menangkap anjing terbiar terpaksa dihentikan apabila kami menerima tentangan NGO," katanya.
Sementara itu Thiew berkata, kehadiran pihaknya adalah untuk mendamaikan keadaan dan berharap semua pihak menjaga sensitiviti antara kaum dan agama.
"Buat masa ini siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan," katanya.
Appear first on Sudut Malaysia